--> Skip to main content

Zulkifli minta masa untuk ulas isu arak, injil

KOTA BHARU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, enggan mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh, mengenai isu minum arak dalam kitab injil.

Beliau memberi alasan perlu bergegas untuk tiga lagi lawatan di Kelantan, sambil memaklumkan akan menjawab isu berkenaan di lain hari.

"Yang itu, saya 'no komen', cukuplah dulu. Saya nak balik ke Kuala Lumpur dan sekarang ini perlu pergi ke tiga lokasi lagi.

"Lain kali saya jawab semua ye," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Santuni Komuniti Masyarakat Sejahtera di Masjid As-Salam, di sini, hari ini yang dirasmikan Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

Pada 26 Ogos, ketika perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 di Dewan Rakyat, Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, tidak ada agama yang membenarkan penganutnya meminum arak.

Beliau kemudian dicelah Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) yang mengatakan bahawa kenyataan Zawawi itu tidak tepat dengan memberitahu bahawa agama lain membenarkan minum arak tetapi tidak memabukkan.

Terdahulu, mengulas mengenai kunjungannya di Kelantan, Dr Zulkifli berkata, Kerajaan Pusat akan berkolaborasi dengan kerajaan negeri dalam usaha memperkasakan lagi sekolah pondok dan pengajian agama di negeri itu.

"Saya lihat isu yang boleh bekerjasama dengan Kelantan dari sudut agama dan pendidikan. Kami di peringkat Persekutuan juga ramai dari Kelantan, yang memberi sumbangan besar.

"Apa yang saya lihat, kolaborasi di antara Kerajaan Pusat dan negeri boleh dilihat dari segi memperkasakan lagi pondok dan pengajian agama.

"Kita akan melihat berdasarkan kemampuan kita," katanya.