--> Skip to main content

YB pun kena scam

JELEBU: "Saya terkejut apabila ditanya rakan mengenai hasrat membuat pinjaman wang padahal tidak ada berbuat demikian.

"Mujur ada rakan yang prihatin bertanya kepada saya terlebih dahulu, jika tidak sudah pasti menjadi mangsa penipuan," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Noor Azmi Yusof apabila nama dan gambarnya digunakan scammer bagi meminjam duit daripada orang lain.

Katanya, malam tadi seramai enam rakannya dihubungi oleh scammer terbabit menerusi aplikasi WhatsApp sebelum menyatakan hasrat meminjam duit.

Noor Azmi berkata, scammer menyamar menjadi dirinya dan menggunakan nombor telefon 01135101315 sebelum menghantar mesej WhatsApp menyatakan mahu meminjam wang berjumlah RM3,900 hingga RM7,000 bagi pembayaran buku dan peralatan asrama.

"Kira-kira jam 1 tengah hari tadi, ketika berada di rumah saya dihubungi rakan mengenai perkara itu dan menafikan ada berbuat demikian iaitu meminjam wang.

"Berikutan itu, saya membuat laporan di Balai Polis Pertang, jam 3.42 petang selepas gambar saya digunakan pihak tidak bertanggungjawab bagi menipu orang ramai," katanya.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Jelebu, berkata polis mengesahkan menerima laporan daripada ADUN terbabit.