--> Skip to main content

WHO iktiraf sistem kesihatan Malaysia - Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai sistem kesihatan yang kuat dan liputan yang sejagat (UHC), kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, dalam sorotan berita WHO semalam, sistem kesihatan di Malaysia juga diiktiraf mempunyai asas yang kukuh dalam menangani pandemik COVID-19 melalui pengalaman lalunya.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menghargai pengiktirafan WHO ini dan terus komited dalam memperkukuh sistem kesihatan negara bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara," menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, WHO dalam satu sidang media pada hari sama menegaskan bahawa vaksin adalah berkesan dalam membendung penularan penyakit seperti cacar air, polio dan sebagainya.

"Namun begitu, keberkesanan dan keselamatan vaksin adalah faktor penting dalam penggunaan vaksin.

"Perkara ini tidak boleh diambil ringan dan justeru itu, bagi menjamin faktor itu, vaksin perlu melalui beberapa ujian dan fasa," katanya.

Beliau berkata, sehingga hari ini, masih tiada vaksin COVID-19 yang disahkan berkesan dan selamat oleh WHO.– BERNAMA