--> Skip to main content

Warisan umum calon 10 September

Kota Kinabalu: Parti Warisan Sabah (Warisan) memilih 10 September ini untuk mengumumkan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, memenangi PRN adalah keutamaan mereka, sekali gus, menjadi pilihan rakyat Sabah.

"Ia bukan sekadar pengagihan kerusi semata-mata tapi kita mahu menang pilihan raya ini. Sekarang Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) juga bergelut.

"Pilihan raya ini penting bagi kita jadi kita kena pastikan kita adalah pilihan utama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Warisan Plus sempena PRN Sabah ke-16 di sini, semalam.

Shafie turut menggesa rakyat supaya bersatu bagi memastikan Warisan kembali menerajui Sabah sekali lagi.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 26 September sebagai tarikh PRN Sabah, manakala hari penamaan calon pada 12 September dan hari mengundi awal pada 22 September ini.