--> Skip to main content

Warga Indonesia diarah jalani rawatan psikiatri

Kuala Terengganu: Mahkamah Tinggi di sini hari ini, mengarahkan buruh warga Indonesia yang didakwa membunuh rakan sekerjanya dan menyebabkan kecederaan parah terhadap isteri mangsa menjalani rawatan psikiatri di Hospital Permai, Tampoi di Johor.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed mengeluarkan arahan itu selepas tiada sebarang bantahan daripada pihak pendakwaan terhadap permohonan oleh peguam supaya tertuduh, Junianto, 29, dihantar ke hospital berkenaan untuk pemeriksaan mental.

Tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan membunuh warga tempatan, Zukanain Abd Aziz, 39, di ladang kelapa sawit berhampiran sebuah pondok di Kampung Beril, Paka di Dungun, 2.45 pagi pada 12 Februari lalu.

Dia yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) berdepan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut didakwa menyebabkan kecederaan parah ke atas isteri Zukanain, Rosnah Muhamed, 34, di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 326 KK berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 30 November depan untuk perbicaraan kes.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amer Abu Bakar Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam, Azura Alias.