--> Skip to main content

Usah biar fikiran diracuni toksik

BERSEPADU menangani segalanya. Itulah kata positif perlu disemai dalam menangani segala dugaan dan cabaran tanpa mengira agama, kaum dan bangsa.

Kesepaduan sudah lama tercapai di negara kita seperti terbukti antara pemimpin dan rakyat. Rakyat memberikan mandat kepada pemimpin, manakala pemimpin pula melaksanakan amanah mensejahterakan rakyat dan negara.

Ia dicapai menerusi pembentukan tapak integrasi dibina berasaskan prinsip tawar-menawar, perundingan dan pengantaraan. Perpaduan boleh dicapai dengan usaha berterusan memantau kesepaduan dan pembinaan tapak integrasi sebagai instrumen utama penyatupaduan.

Namun, ia tidak akan tercapai jika kita berhadapan manusia yang fikirannya diracuni toksik. Di mata golongan ini, jalan lurus kelihatan bersimpang-siur. Gawang fikiran penuh toksik akan gagal mentafsir antara benar dengan salah. Jalan benar kelihatan berliku dan penuh batu-batu kehitaman dalam minda mereka.

Sejarah peradaban manusia banyak menyaksikan pertumpahan darah kerana fikiran diracuni toksik. Kisah putera Nabi Adam AS, Qabil membunuh adiknya, Habil kerana tidak dapat menikahi Iqlima adalah kisah diceritakan turun-temurun.

Hati Qabil penuh dengan toksik fikiran, iri hari dan dendam menyebabkan tergamak membunuh adiknya. Akhirnya, Qabil menganiaya dirinya dan menghumbannya ke dalam lembah penghinaan. Qabil kekal sebagai watak antagonis dalam sejarah peradaban manusia.

Sejak kebelakangan ini, kita terkejut dengan gelagat manusia yang pemikirannya diracuni toksik dalam pelbagai organisasi sosial. Isu ini perlu diketengahkan sebagai iktibar dan pengajaran kepada semua.

Cerita mengenai keikhlasan seseorang jujur dimanipulasi dengan pelbagai propaganda jijik bukanlah cerita luar biasa dalam masyarakat. Pelbagai tohmahan dan cakap-cakap belakang disasarkan golongan ini secara tersembunyi persis peribahasa Melayu, lontar batu sembunyi tangan.

Golongan 'talam dua muka' ini, berkelakuan bak kata pepatah, 'mulut disuap pisang, buntut dikait onak'. Mereka bermuka-muka di hadapan kita, di belakang mereka mengumpat dan memburuk-burukkan kita.

Fikiran diracuni toksik sukar dipulihkan. Manusia yang fikirannya diracuni toksik bukan sahaja lupa diri, bahkan lupa daratan. Mereka berasakan diri mereka hebat lagi sempurna.

Perbuatan mereka mengkritik membuta tuli, menghina, mengeji dan mengumpat adalah virus yang akan meruntuhkan sesebuah institusi dari dalam. Tidak salah jika kritikan mereka membantu kita menjadi lebih baik dengan cara positif.

Bagaimanapun, jika kritikan diberikan sentiasa bersifat menyinggung perasaan atau menghina, sudah tentu ia ancaman menggoncang ikatan persahabatan dan menggugat perpaduan negara. Masalah dan perselisihan adalah lumrah apabila kita menjayakan sesuatu misi secara berkumpulan.

Sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula perselisihan pandangan dalam fikiran manusia berbeza latar pengalaman dan pendidikan.

Apakah penyelesaian terbaik apabila timbul perselisihan faham? Gunakanlah pendekatan berhemah dalam mencari penyelesaian. Berkomunikasi dan berbincang secara tenang dan berdiplomasi. Ingatlah lebih dekat hubungan kita kepada seseorang, lebih besar kesempurnaan akan kelihatan. Jika kita merapatkan saf, pastinya konflik sebesar gunung akan kelihatan sekecil kuman.

Penularan wabak COVID-19 menjadi medan menguji kita. Kita melihat ketelusan hati beberapa individu, korporat dan persatuan menyalurkan pelbagai bantuan kepada mereka yang memerlukan dengan ikhlas. Keikhlasan mereka ini ada kalanya menjadi berita muka dalam akhbar tempatan. Ramai menggelar mereka sebagai 'wira negara'.

Namun, segelintir manusia yang fikirannya diracuni toksik mengkritik dan menghina mereka. Pendakwah terkenal, Ebit Lew yang bertungkus-lumus menghulurkan bantuan turut menerima kecaman. Beliau dikritik dan dicemuh beberapa pihak.

Keikhlasan beliau membantu pelbagai etnik dipersoalkan. Usaha murni beliau mengundang rasa tidak senang beberapa pihak mengatakan figura dakwah ini mengejar populariti murahan. Ketika mereka memukul canang menghebohkan fitnah, pelbagai lapisan masyarakat berdiri teguh di sisi Ebit Lew memberikan sokongan moral.

Tangan Ebit Lew terus menghulur selagi ada memerlukan bantuan. Mereka yang fikirannya diracuni toksik tidak mampu melemahkan semangatnya untuk memberi dan terus memberi.

Pada zaman dahulu, di Baghdad tinggal seorang ahli sufi yang sangat warak. Ramai penduduk dari serata tempat melawat beliau. Mereka memberikan pelbagai hadiah. Beliau menerima dengan ikhlas dan kemudian hadiah ini disedekahkan kepada fakir miskin.

Suatu hari, beliau dikunjungi seorang hartawan yang menghadiahkan gunting diperbuat daripada emas dan permata. Namun, ahli sufi ini enggan menerima hadiah itu. Hartawan berasa kehairanan. Beliau dengan penuh kesantunan bertanya kepada ahli sufi itu, mengapakah hadiahnya tidak diterima.

Ahli sufi itu menjawab dengan tenang: "Jangan memberikan gunting memisahkan, fungsi utama gunting adalah untuk menjadikan sehelai kain kepada dua helai. Berikan aku sebilah jarum besi murah yang akan aku gunakan untuk mencantumkan dua cebis kain menjadi sehelai dengan menjahitnya."

Ahli sufi itu secara tidak langsung memberikan nasihat kepada hartawan agar mengeratkan silaturahim itu lebih utama daripada hidup dalam permusuhan.

Bumi bertuah kita sudah lama merdeka. Rakyat berbilang bangsa berganding bahu dan bersatu hati dengan pemimpin tempatan menuntut kemerdekaan daripada penjajah. Hati mereka diikat tali kasih sayang. Pada waktu itu, tiada racun toksik dalam pemikiran mereka. Mereka bulat hati menuntut kebebasan.

Akhirnya, negara kita dibebaskan daripada belenggu penjajah. Semangat inilah perlu kita contohi dalam memperkasa kesepaduan. Marilah kita mengambil keberkatan bulan kemerdekaan ini dengan memerdekakan segala bentuk toksik meracuni pemikiran kita selama ini.

Biarlah 31 Ogos lalu menjadi lembaran baharu dalam persepsi kita menilai orang melihat sisi positif masyarakat di sekitar dan semangat patriotisme pada Hari Malaysia pada 16 September 2020. Aib dan kekurangan orang lain, kita tutup rapat. Bumi mana tidak ditimpa hujan, laut mana tidak bergelora?

Hati-hatilah dengan fikiran diracuni toksik. Jika baik hati seseorang, maka baik pemikiran dan tingkah lakunya. Ingatlah, bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru. Janganlah menjadi seperti harimau menyembunyikan kukunya.

Hiduplah seperti lilin menerangi orang lain, janganlah hidup seperti duri mencucuk diri dan menyakiti orang lain. Sebarkan kasih sayang, jauhi toksik fikiran.

Penulis adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pascasiswazah di Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)