--> Skip to main content

UiTM kejutkan Pahang

SHAH ALAM: Belum reda isu kehilangan Mohamadou Sumareh, Pahang terus dirundum malang apabila tewas 0-1 di tangan UiTM dalam aksi Liga Super di Stadium UiTM Shah Alam, sebentar tadi.

Ia kekalahan kedua berturut-turut dialami skuad Tok Gajah selepas Liga Malaysia (Liga M) bersambung semula apabila turut tewas 2-3 kepada juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) minggu lalu.

Kesilapan penjaga gol Pahang, Sharbinee Allawee Ramli yang bertindak keluar dari kawasan penalti dan gagal mengeluarkan bola menerima padah apabila kesempatan itu digunakan Rafie Yaacob untuk meledak gol pertama UiTM pada minit ke-63.

Walaupun cuba bangkit mencari gol penyamaan, kegagalan anak buah Dollah Salleh menyudahkan beberapa peluang menyaksikan keputusan 1-0 memihak UiTM kekal hingga tamat permainan.

Sementara itu, pasukan ditangga tercorot, PDRM masih gagal keluar dari 'mata negatif' selepas terikat 1-1 dengan FELDA United di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

PDRM memulakan kempen musim ini dengan mata negatif selepas ditolak tiga mata oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan masalah tunggakan gaji.

Eskandar Salleh meletakan PDRM di depan pada minit ke-49, sebelum Khairul Amri Kamal menyamakan kedudukan buat FELDA United hasil sepakan penalti pada minit ke-71.