--> Skip to main content

Trend ekonomi semasa negara positif - Azmin

Alor Setar: Sektor industri negara yang kembali beroperasi berpotensi menjadikan Malaysia antara negara terawal yang akan bangkit semula dengan kadar pertumbuhan ekonomi lebih baik ketika pandemik Covid-19.

Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, walaupun ekonomi negara menguncup sebanyak 17.1 peratus seperti diumumkan baru-baru ini, namun trend ekonomi semasa negara adalah positif ke arah landasan lebih baik.

"Kini kebanyakan sektor sudah kembali beroperasi dan lebih 15 juta penduduk kembali bekerja dengan kadar pengangguran mula berkurangan disebabkan sektor ini kembali beroperasi.

"Selain itu, suntikan Pakej Rangsangan Ekonomi dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) juga dapat tangani kesan negatif akibat Covid-19," katanya.

Beliau berkata sedemikian selepas Majlis Makan Malam Penggerak Komuniti Negara (PKN) Kedah/Perlis di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), di sini, malam tadi.

Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin.

Azmin berkata, Malaysia dilihat berada di landasan betul berikutan laporan antarabangsa yang mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tahun depan antara 6.3 peratus dan 7.5 peratus.

Bagaimanapun, beliau menegaskan rakyat perlu bersama-sama membantu ke arah berkenaan dengan berbelanja supaya ekonomi negara terus berkembang.

"Pada masa sama kita tidak mahu ada pihak yang cuba menakut-nakutkan rakyat dengan berkongsi perkara tidak benar.

"Kita harus bersama-sama menggerakkan kembali ekonomi negara. Saya akan membawa barisan pimpinan dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk bertemu pemegang saham, persatuan pengilang, industri dan sebagainya untuk mendengar keluhan dan keperluan mereka daripada kerajaan.

"Ini kerana semua pemain industri ini harus sering dengan kerajaan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus positif pada 2021," katanya.