--> Skip to main content

Tiada lagi tanda mangsa terselamat dalam runtuhan di Beirut

BEIRUT: Pasukan penyelamat pada Sabtu memaklumkan tiada lagi tanda individu selamat di bawah runtuhan bangunan di Beirut, sekali gus meranapkan harapan selepas mengesan denyutan jantung dalam runtuhan akibat letupan bulan lalu.

Insiden letupan di pelabuhan Beirut pada 4 Ogos itu meragut sekurang-kurangnya 191 nyawa, menjadikannya bencana terburuk sejak Lubnan mencapai keamanan.

Selepas sebulan, tujuh individu masih hilang.

Rabu lalu, anjing pengesan milik pasukan penyelamat Chile mengesan bau di dalam runtuhan bangunan di kejiranan Gemmayzeh yang musnah teruk dan terletak bersebelahan pelabuhan itu.

Alat pengesan berteknologi tinggi mengesahkan denyutan jantung dan pasukan penyelamat memulakan pencarian di situ, namun, selepas tiga hari menyelongkar runtuhan batu, pakar pencarian Chile, Francesco Lermanda berkata, tiada lagi tanda individu bernyawa di bawah runtuhan berkenaan.

"Dukacita kami maklumkan hari ini bahawa secara teknikalnya, tiada tanda individu bernyawa di dalam bangunan," katanya kepada pemberita.

Dua petugas penyelamat wanita semalam masuk ke dalam terowong terakhir bagi mencari mangsa di ruang udara di mana mereka mungkin berada, namun tiada sesiapa yang ditemui, katanya.

Bagaimanapun, kerja-kerja akan diteruskan bagi menjadikan kawasan itu selamat dan memastikan tiada sebarang kemungkinan terdapat mangsa masih terperangkap, kata Lermanda.

Terdahulu, jurutera, Riyadh al-Assad berkata, pasukan pencarian sudah membersihkan dua lapisan runtuhan dan tiba ke kawasan tangga bangunan, namun tidak menemui sesiapa.

Pengarah operasi agensi pertahanan awam, George Abou Moussa, pula berkata peluang untuk menemui mangsa dalam keadaan hidup adalah sangat rendah, namun pegawai pertahanan awam, Qassem Khater, memaklumkan pasukannya tetap enggan berputus asa.

Pakar dari Chile, Walter Munoz sebelum itu menyatakan peluang untuk menemui mangsa hanyalah sekitar dua peratus. - AFP