--> Skip to main content

The Taaras Beach & Spa Resort alu-alukan tetamu sepanjang tahun

PEMILIKAN paling berharga Berjaya Hotels & Resort, The Taaras Beach & Spa Resort mengalu-alukan tetamu untuk meluangkan masa bercuti di kemudahannya yang terletak di tepi pantai sempena cuti akhir tahun akan datang.

Meskipun, keseluruhan resort pulau di negeri Pantai Timur Semenanjung ditutup kepada pelancong bermula November sehingga Februari saban tahun, The Taaras Beach & Spa Resort yang terletak di Pulau Redang kekal beroperasi sepanjang tahun sejak 2019.

Istimewanya, resort ini dilindungi dua teluk, menjadikan destinasi pelancongan unik di pulau berkenaan untuk terus beroperasi sehingga hujung tahun dan ketika musim monsun.

Untuk ke resort berkenaan, tetamu ada pilihan, sama ada melakukan perjalanan lancar melalui penerbangan terus.

Pada tahun ini, The Taaras Beach & Spa Resort menawarkan tiket penerbangan percuma menerusi pesawat Berjaya Air yang boleh ditempah sehingga 21 Februari 2021 sahaja.

Ini bermakna, tetamu boleh menginap di resort itu antara 16 Oktober 2020 sehingga 28 Februari 2021.

Menampilkan pantai yang disediakan khas untuk pengunjung yang terletak di Pantai Timur, mereka boleh memilih, sama ada untuk menginap selama tiga hari dua malam, empat hari tiga malam atau lima hari empat malam dengan melakukan perjalanan penuh gaya dari Lapangan Terbang Subang ke Pulau Redang.

Terletak di tengah-tengah ciptaan paling semula jadi, berlantaikan pantai pasir putih, dikelilingi lautan jernih dan berlatarkan hutan hujan tropika, resort ini menempatkan 158 suite serta bilik yang bergaya serta vila peribadi terletak dekat tebing yang dilengkapi lima bilik menghadap ke laut, termasuk resort bawah.

Dengan tawaran luar biasa ini, tetamu akan mempunyai pengalaman mempersonakan apabila berpeluang merasai perairan jernih bak kristal dan keputihan pasir pantai di tengah kehangatan layanan mesra bercirikan hospitaliti Asia.

Penerbangan langsung menawarkan pengalaman perjalanan lancar tanpa masalah apabila medium itu sudah pasti mengurangkan masa perjalanan ke Pulau Redang yang secara purata mengambil masa empat jam, menjadi kira-kira sejam dengan penerbangan.

Tetamu juga akan menikmati keistimewaan, termasuk akses dan jamuan ringan di Naza SkyLounge, terletak di aras 1 Lapangan Terbang Subang, selain dibenarkan membawa bagasi daftar masuk seberat 15 kilogram (kg) dan elaun bagasi tangan 7kg setiap orang selain peluang memilih tempat duduk dan disajikan minuman ringan dalam pesawat.

Sebelum ini, resort berkenaan pernah diiktiraf sebagai pemenang Anugerah Pilihan Pengembara 2020 oleh TripAdvisor, meletakkan ia di kedudukan 10 teratas perniagaan hospitaliti seluruh dunia.

Bukan sahaja resort mewah, ia turut dilengkapi makmal Unit Penyelidikan Penyu Laut yang menyediakan maklumat mengenai aktiviti konservasi dan pendidikan untuk tetamu mengenai perihal makhluk bercengkerang itu.

Fasiliti penyelidikan itu diuruskan oleh sekumpulan saintis dan pembantu penyelidikan terlatih dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Usaha konservasi dan menyebar luas pendidikan mengenai penyu laut sejajar dengan kecintaan dan keprihatinan pengasas Berjaya Group, Tan Sri Vincent Tan khususnya terhadap hidupan penyu laut serta terumbu karang.

Menurut Vincent Tan, pengalaman di The Taaras Beach & Spa Resort tidak dapat dilupakan dan begitu bermakna buat pengunjung yang datang dari serata dunia.

Sementara itu, Pengurus Besar The Taaras Beach & Spa Resort, Pravir Mishra mengalu-alukan kedatangan orang ramai ke resort itu ketika cuti hujung tahun.

Beliau akan sentiasa memastikan kelancaran proses daftar masuk resort supaya setiap tetamu, mendapat penginapan menyenangkan selain memahat pengalaman menyeronokkan.

"Kita ada pantai persendirian terletak di teluk yang melindungi ombak. Anda boleh berenang dengan penyu di laut yang terletak berhampiran pantai dan kawasan berterumbu karang pula terletak di sebelah lain.

"Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai aktiviti sukan air dan darat seperti menyelam, snorkeling, berkayak, yoga pantai, pelayaran dan banyak lagi," katanya.

Untuk maklumat lanjut dan ingin menempah, orang ramai boleh melayari laman web https://www.thetaaras.com/fly-me-away/your-flight-on-us.

Penulis adalah penulis bebas