--> Skip to main content

Thailand promosi ganja sebagai tumbuhan ekonomi baharu

BANGKOK: Thailand mahu mempromosikan 'hemp' (spesies ganja) sebagai tumbuhan ekonomi baharu, dengan sokongan bagi pelaksanaan penyelidikan mengenai produk kesihatan berasaskan tumbuhan itu.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul,

berkata demikian ketika mempengerusikan bengkel mengenai promosi penanaman 'hemp' dan pemprosesan untuk dijadikan produk kesihatan.

Dalam ucapan khasnya mengenai 'hemp' sebagai tumbuhan ekonomi, beliau yakin ia mampu mempromosi dan menjana ekonomi Thailand.

"Kerajaan sudah mengeluarkan notis mengecualikan ekstrak 'hemp' dan sesetengah bahagian tumbuhan itu daripada senarai narkotik.

"Ini bagi membolehkannya digunakan sebagai ramuan dalam ubat, produk herba, barangan makanan dan kosmetik," katanya.

Bengkel itu diadakan oleh Kementerian Kesihatan Awam bagi memupuk kefahaman mengenai peraturan yang akan dikuatkuasa kelak berhubung promosi penanaman dan pemprosesan 'hemp'.

Kementerian itu juga membuat pengumuman bahawa pembuatan, import, eksport, penjualan dan pemilikan 'hemp' sama ada di peringkat isi rumah atau industri kini dibenarkan.

Katanya, ia bertujuan mempromosi persaingan dan menjana lebih banyak pendapatan untuk petani dan negara dengan menjadikan tanaman itu sebagai komoditi komersial.

Menurut kementerian itu lagi, hampir semua bahagian tumbuhan 'hemp' boleh digunakan, manakala iklim dan persekitaran di Thailand sesuai bagi penanaman tumbuhan itu. - AGENSI