--> Skip to main content

'Permata' tersembunyi di sebalik hutan

SIAPA sangka di sebalik kedudukan lokasi yang tersorok di balik hutan belantara dan laluan jalan kampung, tersembunyi 'permata' yang bakal digilap sebagai tarikan pelancongan baru di Machang, Kelantan.

Kawasan yang dilatari pemandangan pagi yang indah dengan puluhan lembu meragut rumput berlatarbelakangkan padang yang luas, membuatkan kawasan ini saling tak tumpah seperti berada di New Zealand yang terkenal dengan keindahan panorama semula jadi.

Malah, di sini juga terdapat pusat ternakan lembu tenusu dan jualan air yogurt, susu lembu, kambing diperah segar di gerai penduduk tempatan yang dicat bertemakan tompokan warna hitam putih seperti lembu Holstein, lembu tenusu paling banyak diternak seluruh dunia.

Lokasi menarik ini terletak di Jeram Mengaji Agro Resort, di laluan Selinsing ke Machang, kira-kira enam kilometer dari Selinsing dan kira-kira 22 kilometer dari Bandar Pasir Puteh.

Selain keindahan panorama semula jadi, Jeram Mengaji turut dianugerahkan jeram yang jernih sesuai untuk aktiviti mandi-manda dan rekreasi keluarga.

Paling mengujakan apabila ada bunga Rafflesia di kawasan berkenaan.

Penduduk tempatan, Muhammad Rafif Mahdi, 21, berkata ini kali pertama beliau melihat sendiri bunga Rafflesia dan lebih teruja apabila bunga terbesar di dunia itu ada di hutan di kampungnya.

Katanya, sebelum ini dia sendiri tidak mengetahui kewujudan flora itu yang turut dikenali sebagai bunga Pakma sehingga beliau menyertai aktiviti mendaki itu.

PUSAT ternakan lembu tenusu ada di sini. - Foto/Amalina Alias PUSAT ternakan lembu tenusu ada di sini. - Foto/Amalina Alias

"Saya banyak kali datang mandi-manda di jeram ini yang turut dipanggil nama Jeram Mak Nenek, namun saya baru tahu hutan dekat jeram ini ada bunga Raffelesia.

"Rasa bangga bila bunga ini ada di kampung sendiri dan saya lihat kewujudan bunga ini mampu menjadi tarikan pelancongan di Kelantan," katanya ketika ditemui dalam program menjejak bunga Rafflesia, di Jeram Mengaji, di sini.

Program mendaki itu dianjurkan Kelab Kebajikan dan Rekreasi Anak Muda Pasir Puteh (KEMAH) diadakan bagi 'menyelongkar' keistimewaan Jeram Mengaji yang bakal dibuka sebagai tarikan agropelancongan kepada orang awam tidak lama lagi.

Program disertai 100 belia dan penduduk tempatan dalam kalangan Kelab Pendaki Kelantan 7 puncak, Flying Hikers, Trip Kembara dan Rekreasi (TKR) Kelantan dan Kelab Taekwondo Extrem Spirit.

Bagi Nor Asma Shahira Alias, 24, beliau cukup teruja apabila kali pertama menjejakkan kaki di Jeram Mengaji Agro Resort kerana pemandangan yang sangat menakjubkan seperti berada di luar negara.

Katanya, keindahan alam semula jadi di situ menjadi tarikan untuk pengunjung bergambar, selain dapat menikmati air susu lembu, kambing segar dari ladang.

"Suasana pagi sekitar jam 8 pagi hingga 11 pagi adalah paling cantik kerana keadaan berkabus dilatari kelompok lembu dan kuda di padang menjadikan gambar diambil sangat mirip seperti di New Zealand," katanya yang tinggal di Melor.

MANDI-mandi antara aktiviti dilakukan pengunjung di lokasi itu. - Foto/Amalina Alias MANDI-mandi antara aktiviti dilakukan pengunjung di lokasi itu. - Foto/Amalina Alias

Peserta, Mohd Azizi Daud, 39, pula berkata pendakian selama tiga jam dengan ketinggian lebih 300 meter itu memberi pengalaman baru buatnya yang meminati aktiviti lasak.

"Saya tidak pernah melihat bunga Rafflesia. Biasanya bunga itu ditemui di dalam hutan Borneo seperti Sabah dan Sarawak, kini di Kelantan juga sudah ada bunga ini.

"Di sini juga ada jeram sesuai untuk mandi-manda, hutan simpan Chabang Tongkat dan kawasan ternakan madu kelulut," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi , Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, berkata Jeram Mengaji Agro Resort antara salah satu daripada tiga lokasi unik yang bakal diangkat sebagai kawasan pelancongan baru di Kelantan.

Katanya, lokasi berkenaan berkonsepkan agropelancongan dengan dua lagi adalah di Pasir Mas iaitu kawasan ternakan rusa Rong Chenok dan tarikan tasik dan masjid di Danau Tok Uban.

Usaha ke arah meningkatkan pembangunan infrastruktur di ketiga-tiga lokasi itu sudah dibincangkan dalam mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu.

BUNGA Raffelesia jadi tarikan pelancong di Kelantan. Hanya bunganya berkembang bermula setiap Januari. - Foto/Amalina Alias BUNGA Raffelesia jadi tarikan pelancong di Kelantan. Hanya bunganya berkembang bermula setiap Januari. - Foto/Amalina Alias

Katanya, untuk Jeram Mengaji, pihaknya menjangkakan peruntukkan setengah juta ringgit manakala peruntukkan lebih besar untuk Rong Chenok dan Danau Tok Uban.

"Kita sudah mohon peruntukkan daripada kerajaan pusat dan negeri melalui Rancangan Malaysia ke12 (RMK12) untuk pembangunan sepanjang lima tahun bagi tiga kawasan berkenaan yang diisytiharkan sebagai zon industri "aqua culture' yang kita akan bangunkan infrastruktur dan kemudahan lengkap sebelum dibuka kepada orang ramai sebagai aset pelancongan baru negeri ini," katanya.