--> Skip to main content

Terpaksa mandi guna air botol mineral [METROTV]

Petaling Jaya: "Syukurlah bekalan air kembali pulih seperti biasa petang semalam. Jika tidak, entah bagaimana agaknya saya mahu meneruskan majlis kenduri doa selamat hari ini," luah Mohd Sabri Salleh, salah seorang penduduk Pangsapuri Sri Meranti, Bandar Sri Damansara di sini.

Mohd Sabri, 59, yang bekerja sebagai pemandu van jelas gelisah susulan kawasan perumahannya terjejas akibat gangguan bekalan air sejak Khamis lalu.

Menurutnya, biarpun bukan kali pertama masalah seumpama itu berlaku namun ia memberi kesan besar kepadanya dan penduduk sekitar.

MOHD Sabri bersyukur bekalan air pulih seperti biasa. FOTO Saifullizan Tamadi MOHD Sabri bersyukur bekalan air pulih seperti biasa. FOTO Saifullizan Tamadi

"Masalah bekalan air ini berlaku beberapa hari sebelum majlis kenduri doa selamat diadakan selepas saya selamat menjalani rawatan pintasan jantung.

"Kalau boleh, saya tidak mahu batalkan majlis ini kerana jemputan sudah dihantar. Saya kasihan melihat jiran yang duduk di tingkat atas pangsapuri kerana mereka perlu berulang alik turun tangga untuk membawa botol berisi air.

"Saya cuba cari air mineral di sini untuk bekalan minuman, tetapi semuanya habis dijual. Oleh itu saya terpaksa pergi ke Chow Kit dan membelanjakan RM180 untuk membelinya," katanya.

Seorang lagi penduduk, Sofia Said, 62 berkata, gangguan bekalan air bukan hanya menyebabkan dia terpaksa membeli air mineral dalam kuantiti yang banyak, tetapi turut menadah air hujan di dalam baldi kerana terdesak.

SOFEA menunjukkan bekalan air yang disimpan. FOTO Saifullizan Tamadi SOFEA menunjukkan bekalan air yang disimpan. FOTO Saifullizan Tamadi

"Seumur hidup, saya tidak pernah mandi menggunakan air mineral dalam botol. Namun kali ini, kami terpaksa kerana tiada pilihan lain.

"Selain itu, saya juga menadah air hujan kerana bekalan tidak mencukupi berikutan anak dan cucu tinggal bersama," katanya.

Sementara itu, Mohd Hasbullah Kasim, 23 berharap pihak berkaitan mencari penyelesaian bagi memastikan masalah sama tidak berulang.

MOHD Hasbullah. FOTO Saifullizan Tamadi MOHD Hasbullah. FOTO Saifullizan Tamadi

"Pada hari kejadian, saya bekerja, tetapi terpaksa keluar seketika untuk membantu keluarga mendapatkan bekalan air.

"Memang letih kerana tiada lif dan saya pula tinggal di tingkat tiga pangsapuri. Jadi saya perlu turun naik tangga membawa kotak berisi air mineral," katanya.

Khamis lalu, syarikat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan sebanyak 1,292 kawasan di tujuh wilayah di Selangor dan Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan empat Loji Rawatan Air (LRA) terpaksa dihenti tugas, susulan pencemaran dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor.