--> Skip to main content

Taufan Haishen dijangka melanda Jepun

KAGOSHIMA: Pihak berkuasa Jepun mengeluarkan amaran angin kuat, hujan lebat dan ombak tinggi kepada penduduk selain menasihatkan mereka berpindah susulan taufan ganas dijangka melanda barat negara itu.

Menurut agensi meteorologi, taufan Haishen menuju ke Okinawa di selatan Jepun pagi tadi dan dijangka bergerak ke arah Kyushu selewat-lewatnya esok atau Isnin ini.

Taufan itu dijangka melanda Jepun dengan angin berkelajuan hingga 290 kilometer sejam (km/j), sekali gus menjadikannya 'ribut ganas' amaran peringkat tertinggi.

Pegawai agensi meteorologi, Yoshihisa Nakamoto, berkata ia Ia amat berbahaya dengan angin, ombak kuat, hujan lebat dan ribut serta menggesa supaya penduduk segera berpindah.

Sementara itu, pegawai kerajaan, Yuhei Takamura, tidak menafikan kemusnahan dan kerosakan besar-besaran bakal berlaku.

Kira-kira 4,600 penduduk di Tarumizu, Kagoshima digesa supaya berpindah manakala pihak berkuasa di Kyushu memberi amaran supaya penduduk di situ bersiap siaga.

Pihak berkuasa di Minamidaitojima turut mengarahkan kira-kira 1,300 penduduknya supaya segera berpindah dengan ribut kuat dijangka melanda pulau yang terletak di timur Okinawa itu.

"Kami menggesa semua penduduk supaya sentiasa bersiap siaga dengan angin semakin kuat dan dijangka bertambah 'ganas'," kata seorang lagi pegawai kerajaan, Hidehito Iha. - AFP