--> Skip to main content

Tak mahu ingat kisah silam, bekas ahli Al-Maunah mulakan hidup baharu

HULU TERENGGANU: "Saya tidak mahu lagi mengingati pengalaman lalu dan ingin memberi fokus kepada kehidupan sekarang maklumlah sudah 20 tahun perancangan hidup tertangguh kerana berada di penjara," kata Awie, 49, (bukan nama sebenar) ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu 24, Kuala Berang, hari ini.

Awie sepatutnya menjalani hukuman penjara sepanjang hayat mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan atas pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong ketika menyertai pergerakan Al-Maunah pada 2000.

Bagaimanapun selepas 20 tahun, anak kelahiran Kuala Berang itu dibebaskan selepas mendapat perkenan pengampunan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Hari Kebangsaan ke-63 pada 17 Ogos lalu.

Awie berkata, dia mempunyai kemahiran menjahit dan mengukir yang dipelajari ketika menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang dan Penjara Marang.

"Insya Allah, sekiranya ada peralatan yang mencukupi untuk menjahit atau mengukir dan memperolehi tempahan, saya boleh meneruskan pekerjaan itu di rumah.

"Tetapi sekarang peralatan untuk menjahit dan mengukir pun tiada, oleh itu tidak boleh lagi memulakan pekerjaan berkenaan walaupun sudah ada penduduk yang ingin membuat tempahan mengukir," katanya ketika ditemui pada Program Lawatan Prihatin Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim ke rumahnya di sini, hari ini.

Tambahnya, disamping membabitkan diri dengan kegiatan kemahiran itu, dia juga akan menceburi bidang penternakan.

"Alhamdulillah, hasil berkerja sebagai tukang jahit dan pengukir di penjara, saya berjaya menyimpan sedikit wang. Biarpun tidak banyak, tetapi bolehlah digunakan untuk memulakan kegiatan penternakan seperti membina kandang lembu.

"Saya berminat untuk menternak lembu dan boleh memulakannya secara kecil-kecilan dengan menternak dua ekor lembu terlebih dahulu," katanya.

Menurutnya, dia tidak bersedia untuk berkerja makan gaji dan lebih berminat berkerja sendiri.

"Pada usia 49 tahun sekarang saya sudah tidak mampu untuk berkerja dengan orang kerana dibimbangi tidak dapat memberi perkhidmatan yang terbaik.

"Tenaga saya sekarang sudah terhad tidak seperti zaman-zaman muda dahulu oleh itu lebih sesuai berkerja sendiri tanpa sebarang tekanan luar," katanya.

Bercerita mengenai perancangannya untuk berumahtangga katanya, dia memang menyimpan hasrat untuk berkahwin tetapi bukan dalam tempoh terdekat.

"Sejujurnya sebelum ditahan pada 2000, saya memang ada perancangan untuk berkahwin dengan teman wanita. Namun perancangan itu tidak kesampaian malah dia juga difahamkan sudah berkeluarga dan mempunyai cucu.

"Ramai juga kenalan yang ingin menawarkan calon isteri tetapi masih terlalu awal untuk memikirkan mengenai jodoh tetapi saya tidak menolak takdir sekiranya jodoh itu sampai," katanya.

Sementara itu, Maliaman berkata, pengalaman Awie termasuk ketika menjalani tahanan di penjara boleh dijadikan pengajaran kepada masyarakat terutama golongan muda.

"Saya merancang mengumpul remaja dan pemuda yang pernah terbabit dengan masalah sosial termasuk jenayah dan penyalahgunaan dadah untuk mendengar perkongsian pengalaman yang pernah dilalui Awie.

"Semoga perkongsian daripada Awie itu akan menjadi pengajaran dan peringatan kepada golongan muda supaya sentiasa patuh kepada undang-undang," katanya.

Menurutnya, pihaknya akan mengenal pasti bentuk bantuan yang boleh diberikan untuk membantu Awie memulakan kehidupan baharu.

"Kejadian yang lalu itu biarlah ia menjadi pengajaran dan Awie juga sekarang sudah insaf dan kembali ke pangkal jalan.

"Oleh itu wajar untuk kita membantunya untuk memulakan kehidupan baharu sekarang," katanya.