--> Skip to main content

SPAN heret empat pengurus kilang 'jahat'

Putrajaya: Kertas siasatan kes pencemaran Sungai Gong, Rawang, Selangor, yang menyebabkan gangguan bekalan air sejak Khamis lalu, kepada hampir lima juta pengguna Lembah Klang dijangka siap dalam masa terdekat.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Wan Hassan Mohd Ramli berkata pihaknya kini, sedang melengkapkan kertas siasatan termasuk mendapatkan keterangan daripada pihak terbabit dan akan diserahkan kepada Pegawai Pendakwa Raya untuk pertimbangan dan tindakan lanjut dalam tempoh seminggu.

"SPAN bakal mengambil tindakan tegas kepada pencemar sumber air mentah di Sungai Gong, ini termasuk mempertimbang untuk mengguna pakai Seksyen 121 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau maksimum 10 tahun penjara atau hukuman sebatan atau ketiga-tiganya.

"Melalui Akta 655 (Akta Industri Perkhidmatan Air 2006) SPAN mempunyai hak untuk menyiasat dan mendakwa mana-mana pihak atau individu, yang melakukan kesalahan berkaitan pembekalan air terawat dan perkhidmatan pembetungan termasuk isu pencemaran ke atas sumber air mentah," katanya tadi.

Wan Hassan berkata, Kumpulan Pengurusan dan Jawatankuasa Perlesenan, Perundangan dan Penguatkuasaan SPAN, yang diterajui oleh Anggota Suruhanjaya akan membantu Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), mengambil tindakan segera dan seterusnya memastikan hukuman wajar dikenakan ke atas pelaku.

"SPAN memandang serius segala perbuatan yang membawa mudarat kepada kelangsungan bekalan air pengguna dan akan terus mendokong serta membantu KASA dalam memperkasakan alam sekitar terutamanya kesejahteraan sumber air.

"SPAN juga komited, untuk memastikan sebarang perbuatan salah laku terhadap air bersih dan sumbernya akan diambil tindakan tegas, dalam tempoh secepat mungkin," katanya.

Terdahulu, media melaporkan proses pendakwaan terhadap pihak yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran sumber air di Sungai Gong akan dilaksanakan minggu depan.

Empat pengurus kilang yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran sumber air itu telah direman enam hari sehingga Khamis depan.

Ekoran pencemaran minyak daripada kilang berkenaan pada Khamis lepas, Loji Rawatan Air (LRA) Sg Selangor Fasa 1, 2, 3 dan LRA Rantau Panjang dihenti tugas, menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.