--> Skip to main content

'Bukan soal jawatan, tetapi berkhidmat untuk rakyat'

ALOR SETAR: Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan pendiriannya tidak mahu memikirkan soal jawatan dalam Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) yang baru disertai pada 22 Ogos lalu.

Beliau berkata, apa yang difikirkan adalah hanya untuk menyalurkan khidmat kepada parti berkenaan selain Perikatan Nasional (PN) yang mentadbir negara ini.

"Saya bersama Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan beberapa ahli parlimen lain menyertai BERSATU sebelum ini bukanlah untuk memikirkan soal kedudukan, tapi kami mahu kukuhkan kerajaan PN dan BERSATU.

"Kita hanya mahu berkhidmat kepada parti dan kerajaan, lagi pun saya sudah bersama Perdana Menteri yang juga Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau menjadi pemimpin UMNO lagi, saya adalah antara penyokong kuat beliau," katanya ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam Penggerak Komuniti Negara (PKN) Kedah/Perlis di sini,malam tadi.

Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata kedudukan bekas Timbalan Presiden PKR itu akan dibincangkan dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi melantik beliau sebagai seorang daripada naib presiden.

Sementara itu, Azmin dalam ucapannya memberitahu beliau lebih selesa berkawan atau bekerjasama dengan PAS dan UMNO dalam usaha memenuhi aspirasi rakyat.

Katanya, rakyat memerlukan kerajaan yang stabil daripada diheret dengan kemelut perebutan jawatan perdana menteri seperti yang berlaku dalam Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Dalam perkembangan sama, Azmin turut menyatakan keyakinan bahawa gabungan PN dan Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk mampu mencapai kejayaan yang cemerlang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 jika ia dilaksanakan dalam masa terdekat.

Jelasnya, keyakinan itu adalah bersandarkan sokongan masyarakat berbilang bangsa ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim dan Chini selain penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Muhyiddin terutama ketika proses fasa pemulihan daripada wabak COVID-19.