--> Skip to main content

Sheikh Ghazali ketuai Jawatankuasa Teknikal Syarak dan Sivil JAKIM

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman dilantik Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang baharu.

Sheikh Ghazali mendahului senarai 10 lantikan baharu bagi jawatankuasa itu dan turut dikenali sebagai Jawatankuasa Teknikal yang bernaung di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia atau MKI.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemua pelantikan baharu itu berkuat kuasa 16 Ogos lalu hingga 15 Ogos 2023.

"Kerajaan melantik ahli-ahli baharu yang berkepakaran dan berpengalaman luas dalam hukum syarak, undang-undang syariah atau undang-undang sivil.

"Ahli-ahli yang baharu dilantik ini adalah dalam kalangan tokoh yang berintegriti, komited dan dihormati di pelbagai peringkat dan diyakini berupaya untuk memperkasakan kewibawaan Jawatankuasa Teknikal dalam memartabatkan kedudukan undang-undang syariah di Malaysia," katanya.

Barisan Jawatankuasa Teknikal baharu yang lain terdiri daripada bekas profesor Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Profesor Datuk Dr Abdul Monir Yaacob; bekas Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya, Datuk Dr Hassan Ab Rahman serta Profesor Undang-Undang, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Datuk Sri Dr Zaleha Kamaruddin.

Turut dilantik, Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar serta bekas Hakim Mahkamah Rayuan Syariah merangkap bekas Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak, Datuk Muhammad Asri Abdullah.

Selain itu, bekas Hakim Mahkamah Rayuan dan bekas Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan Malaysia, Datuk A Aziz A Rahim dan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Datuk Mohamad Shakir Abdul Hamid turut dilantik sebagai ahli baharu jawatankuasa.

Jawatankuasa itu turut dianggotai Profesor Syariah Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam merangkap Pengarah, Akademi Pengajian Islam UM, Profesor Datin Dr Raihanah Abdullah serta bekas Timbalan Ketua Bahagian, Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang, Jabatan Peguam Negara, Rodziah Muhammad.

Menurut Dr Zulkifli, penamatan keanggotaan Jawatankuasa Teknikal sebelum ini yang berkuat kuasa pada 15 Ogos lalu dilaksanakan mengikut tertib dan terma rujukan yang ditetapkan.

"Kerajaan berpendirian bahawa keanggotaan Jawatankuasa Teknikal perlu diteliti, dirombak serta disusun semula dan perkara ini sudah tentu membabitkan penamatan keanggotaan sedia ada, pelantikan ahli baharu dan pelantikan semula beberapa ahli sedia ada.

"Proses seumpama ini adalah satu proses yang normal dalam memperkasakan suatu jawatankuasa," katanya.

Beliau berkata antara sumbangan utama Jawatankuasa Teknikal dari aspek penyeragaman undang-undang syariah di negara ini ialah penyeragaman lima undang-undang syariah pada 2001.

Ia membabitkan Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam, Undang-Undang Keluarga Islam, Undang-Undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah, Undang-Undang Tatacara Jenayah Syariah dan Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah.