--> Skip to main content

Serbia akan memindahkan kedutaan ke Baitulmaqdis - PM Israel

BAITULMAQDIS: Serbia akan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, sekali gus menjadi negara Eropah pertama mengikut tindakan sama dilakukan Amerika Syarikat (AS), kata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, semalam.

"Saya berterima kasih kepada sahabat saya, Presiden Serbia... atas keputusan untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel dan memindahkan kedutaannya ke sana," kata Netanyahu sambil memaklumkan langkah kontroversi itu akan dilaksanakan menjelang Julai 2021.

Secara tradisi, kebanyakan perwakilan diplomatik di Israel berada di Tel Aviv sebagai pendekatan neutral negara terbabit sehingga status Baitulmaqdis diselesaikan menerusi perjanjian damai Israel-Palestin.

Bagaimanapun, Presiden Donald Trump memecahkan tradisi itu pada Disember 2017 dengan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel dan memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke bandar berkenaan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU) menegaskan, status Baitulmaqdis mesti dimuktamadkan melalui rundingan antara Israel dengan Palestin dan sebelum perkara itu selesai, negara lain tidak harus menempatkan kedutaan mereka di sana.

Berita mengenai langkah Serbia yang juga bukan negara anggota EU itu seiring pengumuman Trump semalam bahawa Serbia dan Kosovo bersetuju dalam satu perjanjian bersejarah untuk menormalkan hubungan ekonomi.

"Hari yang betul-betul bersejarah," kata Trump di Rumah Putih dengan turut dihadiri Perdana Menteri Kosovo, Avdullah Hoti, dan Presiden Serbia, Aleksandar Vucic.

Dalam pada itu, Netanyahu turut berterima kasih kepada Trump atas keputusan Serbia untuk memindahkan kedutaannya ke Baitulmaqdis.

"Saya juga ingin berterima kasih kepada sahabat saya, Presiden Trump, atas sumbangan kepada pencapaian ini," katanya dalam satu kenyataan.

Netanyahu sekali gus mengumumkan bahawa Israel telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan Kosovo yang memperoleh kemerdekaan daripada Serbia pada 2008.

"Kosovo akan menjadi negara berpenduduk majoriti Muslim yang pertama membuka kedutaan di Baitulmaqdis," katanya. - AFP