--> Skip to main content

Seorang maut, 2 parah dalam kes tikaman di Birmingham

LONDON: Polis Britain hari ini mengesahkan seorang maut manakala dua lagi cedera parah dalam kes tikaman secara rambang membabitkan beberapa mangsa di bandar Birmingham.

Polis West Midlands, dalam satu kenyataan, berkata mereka sedang memburu seorang suspek selepas menerima laporan berlaku empat kes tikaman di lokasi berbeza sekitar pusat bandar sejak lewat semalam hingga awal pagi tadi.

Bagaimanapun, Ketua Superintendan West Midlands, Steve Graham, menafikan perbuatan itu berkaitan dengan jenayah kebencian, pergaduhan kongsi gelap atau keganasan.

"Serangan ini nampaknya dilakukan secara rambang berdasarkan mangsa yang terbabit dan kes diklasifikasikan sebagai cubaan membunuh," katanya.

Tiada butiran lanjut diberikan mengenai identiti mangsa selain pengesahan dua yang cedera parah membabitkan seorang wanita dan seorang lelaki.

Selain itu, lima lagi mangsa menerima rawatan kerana mengalami kecederaan ringan dan pihak berkuasa mengesahkan semua kes berkenaan berkaitan.

Siaran televisyen di Britain menunjukkan kawasan yang luas di bandar itu ditutup dan polis bahagian forensik sedang menjalankan siasatan.

Pihak polis berkata siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar jenayah itu berlaku.

Britain berada dalam keadaan berjaga-jaga selepas dua kes tikaman rambang di London tahun lalu oleh dua pengganas selepas dibebaskan awal dari penjara, yang kemudiannya ditembak mati.

Jun lalu, seorang lelaki menghadapi tuduhan membunuh selepas mnikam mati tiga mangsa di sebuah taman awam di Reading, barat London.

Dalam satu lagi kes, enam cedera termasuk seorang anggota polis, di hotel menempatkan pemohon suaka politik di Glasgow, Scotland, sebelum polis menembak mati penyerang terbabit. - AFP