--> Skip to main content

Sengaja rendahkan martabat Bahasa Kebangsaan?

Kuala Lumpur: Papan iklan berhampiran pusat beli belah Midvalley, di sini, yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa utama sudah diturunkan sendiri oleh pihak berkaitan selepas menyedari kesilapan dilakukan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan semalam, memaklumkan terdapat enam jenis lesen iklan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dikeluarkan pihaknya termasuk Lesen Iklan Paparan Luar.

"Lesen Iklan Paparan Luar ini tertakluk mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976; Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974; Undang-Undang Kecil Iklan (WPKL) 1982 dan Undang-Undang Kecil Kerajaan Tempatan (Iklan Pilihanraya) (WPKL) 1990.

"Sebarang ketidakakuran kepada akta atau UUK berkenaan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan atau penalti yang termaktub di bawahnya," katanya.

Menurut kenyataan itu, mana-mana pihak yang mahu menaikkan paparan iklan juga perlu melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi mendapatkan pengesahan penggunaan Bahasa Melayu.

Katanya, penggunaan bahasa lain pada paparan iklan dibenarkan sebagai mengiringi ungkapan utama dalam Bahasa Melayu.

"Dalam isu paparan iklan dipasang di sekitar Mid Valley yang tular, pihak berkaitan didapati tidak mematuhi kelulusan seperti mana diluluskan.

"Pada peringkat kelulusan oleh pihak DBP, paparan iklan yang diluluskan adalah dalam Bahasa Melayu sebagai bahasa ungkapan utama dan diiringi dengan bahasa lain.

"Namun apabila berlaku pemasangan paparan iklan di tapak, berlaku ketidakpatuhan kepada kelulusan yang diberikan apabila bahasa iringan dijadikan ungkapan utama. Menyedari kesilapan dilakukan, pihak berkaitan bertindak menurunkan sendiri paparan iklan itu," katanya.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memuat naik status di Twitter pada 5 September lalu mengenai paparan iklan berkenaan yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa utama.

Beliau memaklumkan papan iklan berkenaan sudah diturunkan dan semua papan iklan di Kuala Lumpur mesti mendaulatkan bahasa kebangsaan.