--> Skip to main content

Sekurang-kurangnya 55 cedera apabila protes bertukar ganas

SOFIA: Protes anti kerajaan di Bulgaria yang berlangsung selama hampir dua bulan, akhirnya bertukar ganas semalam dengan sekurang-kurangnya 55 orang cedera dipercayai termasuk pegawai polis dan wartawan serta hampir 100 individu ditahan.

Menurut pegawai hospital, mangsa yang cedera membabitkan 37 pegawai polis dan 18 lagi orang awam termasuk beberapa wartawan yang membuat liputan terhadap protes itu.

Protes itu juga menyebabkan polis di bahagian pencegahan rusuhan yang mengawal Parlimen Bulgaria turut diancam dengan bom asap, mercun dan batu oleh peserta protes.

Perhimpunan di luar bangunan Parlimen berlangsung dalam keadaan tegang atas bantahan deraf bersifat kontroversi membabitkan perlembagaan baharu yang diusulkan dalam usaha mengakhiri tunjuk perasaan.

Tunjuk perasaan berpanjangan itu dibuat bagi menuntut pengunduran Perdana Menteri, Boyko Borisov atas tuduhan rasuah dan melindungi golongan taikun.

Penganjur perhimpunan itu yang mengakui ia sepatutnya diadakan dalam keadaan aman bagaimanapun berkata, mereka tidak tahu siapa yang melemparkan peluru pada hari keganasan itu.

Menurut kenyataan polis, pada hari insiden keganasan itu berlaku, seramai 60 orang lagi ditahan menjadikan keseluruhan tangkapan sejak protes itu diadakan ialah seramai 95 orang.

Lebih daripada 100 buah bom asap dan mercun serta batu, botol dan objek lain dicampak ke arah polis yang mengawal dengan mengelilingi bangunan Parlimen selepas jam 9.30 malam.

Polis yang memakai perisai itu bagaimanapun menyerbu ke arah peserta tunjuk perasaan, sekali gus mengosongkan kawasan itu.

Terdapat juga pasukan keselamatan yang membawa meriam air dan memberi amaran ia akan digunakan jika peserta tunjuk perasaan masih berdegil dan tidak mahu bersurai.

Rakaman melalui televisyen menunjukkan beberapa orang diseret dan ditahan polis, malah ada juga pegawai yang membantu rakan mereka yang cedera dalam insiden itu.

Peserta tunjuk perasaan turut menyekat laluan jalan raya dan mengadakan acara itu setiap hari di ibu kota Sofia dan beberapa bandar lain sejak dua bulan lalu bagi mendesak peletakan jawatan Borisov dan Ketua Pendakwa Raya, Ivan Geshev, yang dikaitkan dengan golongan taikun atau aligarki di belakang tabir. - AFP