--> Skip to main content

Sektor industri kembali operasi, pengangguran mula berkurangan

ALOR SETAR: Sektor industri yang kembali beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), berpotensi menjadikan Malaysia antara negara terawal bangkit semula dengan kadar pertumbuhan ekonomi lebih baik susulan pandemik COVID-19.

Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata walaupun ekonomi negara menguncup sebanyak 17.1 peratus seperti diumumkan baru-baru ini, trend semasa adalah positif ke arah landasan lebih baik.

"Kini kebanyakan sektor sudah kembali beroperasi dan lebih 15 juta penduduk kembali bekerja. Kadar pengangguran mula berkurangan disebabkan sektor-sektor ini kembali beroperasi," katanya.

Selain itu, beliau menjelaskan, suntikan Pakej Rangsangan Ekonomi dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) juga dapat menangani kesan negatif akibat pandemik COVID-19.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Makan Malam Penggerak Komuniti Negara (PKN) Kedah/Perlis di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), di sini malam tadi yang turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin.

Mohamed Azmin berkata, Malaysia dilihat berada di landasan betul berikutan laporan antarabangsa yang mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun depan adalah antara 6.3 hingga 7.5 peratus.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, rakyat perlu bersama-sama membantu ke arah mencapai sasaran berkenaan dengan berbelanja agar ekonomi negara terus berkembang.

"Pada masa sama, kita tidak mahu ada pihak yang cuba menakut-nakutkan rakyat dengan berkongsi perkara tidak benar. Kita harus bersama-sama untuk mencerdaskan kembali ekonomi negara.

"Saya akan membawa barisan pimpinan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk bertemu pemegang saham, persatuan pengilang, industri dan sebagainya untuk mendengar keluhan dan keperluan mereka.

"Ini kerana semua penggiat industri ini harus sering dengan kerajaan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus positif pada 2021,"katanya.