--> Skip to main content

'Saya sekarang Atiq Azman'

KUALA LUMPUR: Sebelum ini dikenali dengan nama Raja Atiq, pelakon yang meledak menerusi drama rantaian Nur ini bertekad menukar nama komersial bagi mengelak peminat keliru.

Atiq atau nama sebenar, Raja Muhammad Atiqullah Shah Raja Azman Shah mahu dikenali dengan nama komersial, Atiq Azman mulai sekarang.

"Saya mahu dikenali dengan nama Atiq Azman. Saya tak mahu lagi mengundang kekeliruan dengan pelakon, Raja Afiq.

"Beberapa kejadian pernah berlaku termasuk poster yang dibikin memaparkan gambar saya, tetapi nama Raja Afiq disebut pada acara sebuah stesen radio.

Atiq tidak mahu peminat keliru antara dirinya dengan Raja Afiq lalu menukar nama komersial kepada 'Atiq Azman'. Foto IG Atiq Azman Atiq tidak mahu peminat keliru antara dirinya dengan Raja Afiq lalu menukar nama komersial kepada 'Atiq Azman'. Foto IG Atiq Azman

"Ramai menganggap saya dan Raja Afiq ada pertalian darah. Ada yang ingat, dia abang saya," katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, finalis Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke- 32 ini masih menerima jika ada yang terus memanggilnya dengan nama Raja Atiq.

"Saya tak kisah jika nak panggil nama apapun. Tetapi, saya mahu menggunakan Atiq Azman sebagai nama komersil," katanya yang memegang watak Amirul dalam drama rantaian Nur.

Atiq berkata, watak Amirul memberi impak besar buat dirinya.

"Drama Nur melonjakkan nama saya sebagai pelakon. Impaknya cukup besar hingga hari ini.

"Nama Amirul sinonim dengan saya hingga pernah ada yang menjerit panggil saya Amirul di khalayak ramai," katanya.

Atiq berkata, dia mendamba peluang bergelar hero untuk slot utama.

"Bagaimanapun, saya berpijak pada bumi nyata dan reda apa sahaja tawaran diberi. Watak pembantu dan kecil sekalipun, saya tak menolak.

"Bohonglah jika tiada keinginan bawa watak utama. Tetapi, takkan nak 'demand' dengan pengurusan minta watak besar.

"Saya anggap ini ruang terbaik untuk menimba pengalaman dan memperbaiki kelemahan diri. Saya tak mahu terima sesuatu tawaran tetapi menyusahkan pihak produksi.

"Biarlah saya perlahan-lahan 'kayuh'. Apabila sudah bersedia, pasti saya sahut cabaran," katanya.

Atiq berkata, dia akhirnya mencabar diri membawa watak orang kurang upaya (OKU) selepas beberapa kali menolak watak sedemikian.

"Selepas tiga kali menerima tawaran berlakon watak OKU daripada produksi berbeza, akhirnya saya sahut cabaran.

"Saya melunaskan penggambaran telefilem yang memerlukan saya bercakap gagap dan tidak terurus. Saya tengok Naim Daniel boleh membawa watak OKU dengan baik, apa salahnya saya mencuba.

"Insya-Allah, saya mahu cuba membawa watak ganas, aksi bertarung atau antagonis pula jika diberi peluang. Begitulah juga melangkah ke pentas filem.

"Walaupun ada cakap muka saya hanya sesuai watak baik dan budak pejabat, saya akan buktikan," katanya.