--> Skip to main content

Sejuk hati selepas ucap syahadah

Gua Musang: Tersentuh hati mendengar alunan bacaan al-Quran rakan beragama Islam di sekolah, membuka hati lima pelajar perempuan Orang Asli Temiar memeluk Islam hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indera Petra 1, di sini memeluk Islam dalam satu majlis khas di Madrasah Taman Sri Galas, Kuala Betis dekat sini.

Tujuh Orang Asli Temiar termasuk lima pelajar terbabit mengucap dua kalimah syahadah di hadapan Pengerusi Pertubuhan Kebajkan Asnaf Gua Musang (PEKAGM), Mohd Syahbuddin Hashim.

Seorang daripada pelajar berkenaan, Bibie Vanessa Murad, 15, yang tinggal di Taman Sri Galas itu berkata, dia rela hati memeluk Islam.

Bagaimanapun, katanya, ibunya yang sudah berpisah dengan bapa kira-kira dua tahun lalu bersama dua lagi adik-beradiknya belum memeluk Islam.

"Mereka tidak menghalang, sebaliknya merestui saya memeluk agama suci ini kerana sudah lama saya ada niat berbuat demikian.

"Alhamdulillah, sejuk hati saya selepas mengucap syahadah," katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Pelajar tingkatan satu sekolah yang sama, Siti Awara Johari, 13, pula berkata, setiap hari dia berkawan dengan rakan sekolah beragama Islam dan selalu mendengar alunan bacaan al-Quran.

Menurutnya, dia juga dapat melihat rakan beragama Islam menunaikan solat lima waktu hingga dirinya berasa 'gelap' selagi tidak beragama.

Katanya, penduduk Orang Asli di kampung itu sama ada dewasa, remaja dan kanak-kanak sudah lama peluk Islam.

"Mereka belajar mengaji al-Quran dan solat di madrasah itu setiap hari dengan penggerak Orang Asli yang dilantik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)," katanya.

Menurutnya, dia juga sudah belajar mengenai agama Islam sebelum ini dengan rakan sekolah dan dapat membantu mendalaminya lagi.