--> Skip to main content

"Saya boleh ajar kaedah hapuskan kilang haram" - Noh Omar [METROTV]

Kuala Selangor: "Kalau Kerajaan Selangor tidak tahu memerintah, jumpa saya dan saya ajar buat 'pemutihan' kilang haram," ujar Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar ketika mengulas masalah kilang haram yang mencemarkan Sungai Selangor sehingga membawa kepada gangguan bekalan air membabitkan lima juta pengguna sejak dua hari lalu.

Noh berkata, beliau pernah membangkitkan isu kilang haram yang dibina di pinggir sungai di negeri ini sejak 2016.

"Waktu saya bangkitkan isu itu, Menteri Besar ketika itu adalah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Beliau memberi jaminan Kerajaan Negeri akan ambil tindakan tegas kepada kilang-kilang haram di tepi sungai.

"Persoalannya sekarang, di mana mereka (Kerajaan Negeri) yang sepatutnya membela rakyat yang sedang menderita kerana ketiadaan air?" katanya tadi.

Terdahulu, Noh menyertai perhimpunan aman bagi meluahkan isu bekalan air di Kampung Bestari Jaya, Selangor.

Noh berkata, Kerajaan Selangor turut diingatkan tidak hanya merobohkan rumah penduduk di tepi rizab sungai semata-mata, sebaliknya kilang haram juga sewajarnya dirobohkan serta-merta.

"Mereka perlu jelaskan kepada rakyat mengapa rumah tepi parit misalnya di Paya Jaras, Sungai Buloh dirobohkan, tetapi kilang tetap berdiri teguh?

"Jika rumah atau gerai peniaga, mereka cepat sahaja buat pemutihan dengan meruntuh dan merobohkan. Sepatutnya kilang haram pun perlu buat tindakan sama," katanya.

Noh berkata, beliau turut menggesa Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari meletakkan jawatan susulan gagal mengambil tindakan ke atas kilang-kilang haram yang menjadi punca pencemaran di Sungai Selangor.

Menurutnya, rakyat tidak mahu Amirudin sekadar membuat kenyataan media semata-mata sebaliknya diminta turun padang bagi menyelesaikan masalah yang melanda rakyat di negeri ini.

"Selangor adalah negeri maju dan masalah air adalah perkara yang sangat memalukan yang akhirnya rakyat sendiri menerima kesan," katanya.

Noh Omar bersama penduduk kampung mengadakan perhimpunan aman mengenai isu bekalan air di Kampung Bestari Jaya, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN Noh Omar bersama penduduk kampung mengadakan perhimpunan aman mengenai isu bekalan air di Kampung Bestari Jaya, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN