--> Skip to main content

Satu kes baharu Kluster Telaga di Kedah

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan pertambahan satu kes baharu Kluster Telaga, di Kedah (kes ke-9391) adalah kontak rapat kepada kes indeks (kes ke-9284) di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pesakit didapati positif COVID-19 ketika melakukan saringan pada 3 September lalu.

Katanya, jumlah positif COVID-19 dalam kluster ini adalah sebanyak sembilan kes dan sehingga jam 12 tengah hari ini, seramai 3,458 orang disaring dalam kluster ini.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 2,744 individu negatif dan 705 individu masih menunggu keputusan yang diadakan secara pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak.

"Setakat ini jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,391 kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 150 kes yang kesemua mereka diasingkan dan diberi rawatan," katanya dalam kenyataan media hari ini.