--> Skip to main content

Sathia gembira taktik 'lapuk' julang Selangor di Likas

KUALA LUMPUR: Taktik 'lapuk' yang direncanakan ketua jurulatih Selangor, B Sathianathan tampak membuahkan hasil selepas The Red Giants berjaya membawa pulang tiga mata dari Stadium Likas, kelmarin.

Pun begitu, bekas pengendali Harimau Malaya itu lebih gemar menganggap usaha pemain sebagai tunjang kejayaan Selangor menundukkan Sabah 2-1, berbanding taktikal yang direncanakan.

"Saya puji pemain kerana mereka bangkit dan mereka tak putus asa, itu yang kita nak. Selepas kita dapatkan gol penyamaan, saya tahu kita akan dapat jaringkan gol lagi.

"Saya beri pujian kepada pemain, bukan kerana taktik saya. Taktik saya semua lapuk, ini yang digunakan pada tahun 70-an, (formasi) 3-5-2 dan sebagainya.

"Kalau orang kata 3-5-2 ini tak boleh masuk akal, kita berjaya tiga mata dan saya akan cuba yang terbaik untuk Selangor.

"Satu lagi, saya puji padang di Likas. Walaupun hujan, pemain tetap boleh bermain di atas permukaan (padang) yang cantik," katanya.

Sebelum ini, segelintir pihak menganggap Sathianathan menggunakan taktik lapuk selepas Selangor terikat tanpa jaringan berdepan PJ City minggu lalu dan kemenangan ke atas Sabah menyaksikan The Red Giants mengumpul sembilan mata keseluruhan.

Sementara itu pengendali Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto menyifatkan masalah komunikasi antara pemain menjadi antara punca kepada kekalahan pasukannya.

"Secara peribadi saya kecewa kerana kita sudah mendahului dan lawan kemudiannya berjaya menjaringkan gol kerana kesilapan kita sendiri," katanya