--> Skip to main content

“Sandra Menitiskan Air Mata Sebelum Meninggal” – Zizi Kongsi Detik Akhir Kematian

Penyanyi Zizi Kirana antara individu yang sempat memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Sandra Dianne di Hospital Putrajaya, awal pagi Jumaat.

Dedah Zizi kepada Harian Metro, dia bergegas ke hospital selepas dimaklumkan perkara itu oleh pengurusnya yang dikenali sebagai, Bob yang berada di sana.

"Ibu arwah cakap, sebelum disahkan meninggal, arwah menitiskan air mata," dedah Zizi ringkas.

Menurut Zizi lagi, dia dimaklumkan arwah sudah dipindahkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) pada pagi semalam sebelum dilaporkan kritikal pada jam 11 malam.

"Sehari sebelum kemalangan, Sandra ada masuk di sesi siaran langsung Instagram saya. Saya ucapkan tahniah dan beri dia kata semangat dan berjanji mahu datang memberi sokongan di Big Stage. Tapi, tidak kesampaian dan akhirnya pertemuan kami di hospital.

"Hampir setiap hari saya dikemaskini mengenai perkembangan Sandra termasuklah arwah dipindahkan ke CCU. Cuma, semalam seharian saya berasa tak sedap hati. Berkali-kali saya tanya pada Bob mengenai keadaan Sandra.

"Pada jam 11 malam tadi, Bob mesej saya yang Sandra dalam keadaan kritikal dan pada jam 1 dia sudah tiada. Kebetulan sesi rakaman saya sudah habis, jadi terus ke hospital," katanya.

Zizi berkata, walaupun baru dua tahun berkawan dengan arwah selepas bekerjasama menerusi lagu Terkemuka, Zizi menyifatkan arwah individu yang sangat baik.

"Kali pertama jumpa masa nak bekerjasama lagu Terkemuka. Dari situ kami terus berkawan. Dia seorang yang lucu dan lurus bendul. Tapi, sangat 'best' berkawan dengannya.

"Hari pertama dia dimasukkan ke hospital saya tunggu sampai tengah malam untuk pastikan dia sedar. Tapi, selepas lebih empat jam masih tak sedar, doktor terus masukkan ke ICU.

"Lebih menyedihkan, minggu depan iaitu 16 September hari jadi Sandra. Padahal saya ada cakap pada pengurus yang mana nak belikan kek dan berharap dia sedar ketika itu," katanya.

Terdahulu, Sandra yang juga bintang Big Stage musim ketiga, mengalami kemalangan jalan raya pada Sabtu lalu dan sebelum ditempatkan di ICU hospital itu.

Jenazah akan disempurna dan dikebumikan di kampung halamannya di Kg Kauluan, Tuaran, Sabah.

"Hari Itu, Sandra Minta Baju Putih Lengan Panjang… – Ibu Kongsi Kenangan Terakhir

Ibu kepada penyanyi, Sandra Dianne, Nor Syakinah mengimbas kembali kenangan terakhirnya bersama Allahyarham sebelum terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) berhampiran Subang Jaya, Sabtu lalu.

Nor Syakinah berkata, pada hari tersebut Sandra meminta baju putih lengan panjang untuk dibawa ke latihan penuh Big Stage 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

"Pagi sebelum dia ke latihan penuh, saya kejutkan untuk dia mandi sebelum air tiada. Selepas mandi dan bersiap, seperti biasa dia akan luangkan masa dulu bersama adiknya.

"Selepas itu dia salam saya dan ayah dia. Sewaktu keluar bilik dia patah balik dan tanya saya jika ada baju putih lengan panjang. Saya cakap tiada, cuma yang ada hanya inner warna putih.

"Dia cakap tidak apa. Saya macam tak puas hati, saya cari lagi baju putih di almari lain dan jumpa. Dia pun bawa baju itu. Ketika itu perasaan saya sudah lain.

"Sebelum dia keluar rumah, saya tunggu di ruang tamu dan berikan dia kata semangat untuk buat persembahan terbaik. Dia pun minta saya doakan untuknya. Selepas salam dan peluk cium, saya pesan untuk memandu berhati-hati.

"Ketika dalam kereta, dia sempat cakap 'bye mama, jangan lupa tutup 'gate'. Itulah perbualan terakhir kami," katanya kepada Harian Metro.

Sandra yang juga penyanyi lagu Hey Kau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Putrajaya, pada jam 1 pagi, hari ini.

Menurut Nor Syakinah, jenazah sempat dimandi, kapan dan disembahyangkan di Hospital Putrajaya sebelum dibawa pulang ke kampung halaman di Kg Kauluan, Tuaran, Sabah untuk dikebumikan.

"Sebagai ibu mestilah sedih sebab kehilangan anak yang menyayat hati. Dia hilang sekelip mata.

"Alhamdulillah, segala urusan hari ini dipermudahkan Allah SWT. Semuanya lancar dari hospital sehinggalah tiba di Sabah petang tadi.

"Di hospital jenazah dimandi, dikapan dan disembahyangkan. Setibanya di kampung pun jenazah disembahyangkan sekali lagi," katanya.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kauluan kira-kira jam 6 petang tadi

Sumber: Harian Metro