--> Skip to main content

SAM tawar khidmat pendigitalan kepada persatuan sukan kebangsaan

KUALA LUMPUR: Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) bersedia membantu menyumbang kepakaran dalam bidang pendigitalan kepada persatuan sukan kebangsaan melalui Inisiatif Prihatin Sukan yang diumumkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), sebelum ini.

Presiden SAM, Datuk Jasni Shafie berkata peluang diberikan oleh KBS itu amat bermakna kepada pengamal media sukan yang sememangnya mempunyai pengalaman luas dalam bidang berkenaan.

"Sebahagiannya (ahli SAM) adalah 'freelancer' atau menganggur sekarang, untuk menyumbangkan pengetahuan dan kepakaran mereka bagi membantu persatuan-persatuan sukan.

"Secara tidak langsung, ia mungkin boleh memberikan mereka (ahli SAM) pendapatan sampingan terutama kepada mereka yang tidak mempunyai kerja tetap pada masa ini," kata Jasni dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mencadangkan SAM menyumbang kepakaran dalam bidang pendigitalan kepada persatuan sukan kebangsaan agar dana pendigitalan RM30,000 yang diperuntukkan menerusi Inisiatif Prihatin Sukan dapat dimanfaatkan sebaiknya.

Pelawaan itu diumumkan Reezal Merican ketika hadir pada majlis Anugerah SAM-100PLUS 2019 di Bukit Kiara, kelmarin.

Dalam pada itu, Jasni berterima kasih kepada KBS yang bersetuju menghulurkan bantuan kewangan berjumlah RM100,000, selain subsidi RM50,000 kepada SAM untuk membiayai bayaran sewa ruang pejabat SAM bagi tempoh dua tahun sehingga Disember 2022, di tempat pilihan yang bersesuaian.

"Bantuan yang diumumkan oleh Datuk Seri Reezal ini amat dihargai oleh warga SAM, dan kami akan berusaha untuk memastikan organisasi ini terus cemerlang dalam memartabatkan arena sukan bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia," kata Jasni.

-- BERNAMA