--> Skip to main content

RM3 juta akan disalur baik pulih 200 rumah nelayan di Beluran

BELURAN: Sebanyak RM3 juta akan disalurkan untuk Projek Khas Perumahan Nelayan di Beluran, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata, projek itu akan dikendalikan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi membaik pulih 200 rumah nelayan, tahun ini dan tahun depan.

"Projek ini akan dilaksanakan dalam masa terdekat. LKIM sudahpun membaik pulih 152 rumah nelayan di Beluran sebelum ini, dan akan membaik pulih 200 lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Mini Karnival Industri Makanan Beluran 2020, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Kiandee memaklumkan, sebuah Agrobank dijangka diwujudkan di pekan Beluran, tahun ini, dan kini dalam proses mendapatkan lot kedai.

"Ketika ini, Beluran cuma ada sebuah mesin juruwang automatik (ATM). Justeru, dengan adanya sebuah bank di Beluran nanti akan memberi kemudahan perbankan kepada penduduk di daerah ini," katanya.

Sementara itu mengenai karnival hari ini pula, Kiandee berkata, program berkenaan adalah inisiatif kementeriannya untuk mendekati rakyat dan memperkenalkan program pertanian, dalam usaha membangunkan rakyat terutama di luar bandar.

"Kementerian memperuntukkan dana yang banyak melalui jabatan dan agensi di bawahnya bagi membantu masyarakat petani, nelayan serta penternak memperbaiki kehidupan," katanya.

Kiandee berkata, antara program yang membawa manfaat positif kepada rakyat ialah Program Agropreneur Muda yang memperuntukkan RM20 juta bagi membangunkan 1,200 agropreneur muda di seluruh negara, tahun ini.

"Hingga bulan lalu, seramai 582 pemohon telah diluluskan bawah Geran Agropreneur Muda dengan nilai geran RM10.68 juta, dan 344 orang lagi akan menerima geran itu daripada kementerian membabitkan sebanyak RM6.67 juta," katanya. – BERNAMA