--> Skip to main content

RM1 juta arak tiruan dirampas

Kluang: Proses arak tiruan sebelum gunakan label berjenama.

Ia kemudian dipasarkan di kelab malam sekitar Johor dan Melaka selain dijual dengan harga serendah RM20 hingga RM30 sebotol.

Modus operandi kilang yang sudah beroperasi sejak empat bulan di kawasan Perindustrian Wawasan berhampiran Kampung Batu 6 dekat sini terbongkar susulan serbuan dilakukan polis jam 1.50 tengah hari.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Superintendan Dimin Awang berkata, pihaknya merampas arak tiruan dianggarkan bernilai RM1 juta dalam serbuan berkenaan.

Katanya, pihaknya juga menahan lelaki berusia 39 tahun yang sedang memunggah kotak-kotak dipenuhi arak tiruan ke dalam kereta.

"Kita rampas 321 kotak mengandungi 9,608 botol berisi arak dan 410 liter (arak) yang masih berada dalam tong tempat memproses. Polis juga sita kereta Toyota Altis digunakan suspek," katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kilang itu dipercayai memproses arak tiruan untuk dipasarkan di kelab malam sekitar Johor dan Melaka.

"Kes disiasat mengikut Akta Kastam kerana tidak membayar cukai dan suspek diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang untuk tindakan lanjut," katanya.

Dalam perkembangan sama, Dimin berkata, arak tiruan itu juga dijual antara RM20 hingga RM30 sebotol yang mensasarkan warga asing.

Tambahnya, peminum arak tiruan ini dikhuatiri berhadapan risiko keracunan seperti yang pernah berlaku sebelum ini.