--> Skip to main content

Ratu cantik bumi mahu basmi tuala wanita sukar urai

Kuala Lumpur: Dr Nisha Thayananthan yang baru dimahkotakan sebagai Ratu Bumi Malaysia 2020/21 menyifatkan tiada apa lebih bermakna bagi dirinya selain menjadikan Malaysia tempat yang lebih hijau dan baik untuk didiami.

Justeru itu, doktor perubatan di Hospital Putrajaya berusia 28 tahun itu akan berusaha mengekalkan ekosistem dengan mengurangkan sisa buangan seperti plastik dengan menanam lebih banyak pokok serta menghasilkan tuala wanita biodegradasi atau mudah urai jenama sendiri.

"Sebagai Ratu Bumi Malaysia 2020/21, saya mahu mengutarakan lebih banyak isu alam sekitar, aspek aktiviti manusia yang menjejaskan persekitaran biofizik untuk mengekalkan ekosistem.

"Alam semulajadi kaya dengan warna-warni, bentuk serta elemen, ia perlu seiringan dalam mewujudkan keseimbangan," katanya selepas dimahkotakan secara rasmi dalam satu majlis di sini, semalam.

Dr Nisha, yang menjalankan program kesihatan amal komuniti dan mempunyai 38,000 pengikut Instagram berkata, Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (PEKA) sudah menanam lebih 20,000 pokok hutan untuk menyelamatkan alam sekitar, justeru beliau akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) itu bagi menanam lebih banyak pokok.

Ketika ditanya sumber inspirasinya untuk menghasilkan tuala wanita mudah urai jenamanya sendiri, doktor yang bertugas di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Hospital Putrajaya itu berkata, beliau sudah menemukan banyak tuala wanita yang tidak mudah terurai sekali gus memberi kesan buruk terhadap alam sekitar.

"Setiap tahun kira-kira 2.4 bilion keping tuala wanita dihasilkan di Malaysia. Ia adalah jumlah yang besar dan sebab itu tercetusnya idea ini. Saya merasakan apa sahaja yang akan dihasilkan ia perlulah lestari dan memelihara alam sekitar.

"Tuala wanita mudah urai ini akan terurai dalam masa enam bulan kerana setiap lapisan diperbuat daripada gentian tumbuh-tumbuhan mudah urai.

"Sedangkan tuala wanita biasa mengandungi sehingga 90 peratus plastik dan tidak akan terurai untuk 600 hingga 800 tahun atau hampir 1,000 tahun," kata ratu cantik yang aktif dalam kerja kemasyarakatan itu.

Dr Nisha berkata beliau akan menerajui inisiatif untuk menyumbang tuala wanita biodegradasi kepada golongan kurang berkemampuan dan masyarakat Orang Asli bagi menggalakkan penjagaan kebersihan menerusi kempen 'beli satu, sumbang satu'.