--> Skip to main content

Ratu Bumi Malaysia mahu hasilkan tuala wanita mudah urai

KUALA LUMPUR: Bagi Dr Nisha Thayananthan yang baru dimahkotakan sebagai Ratu Bumi Malaysia 2020/21, tiada yang lebih bermakna bagi dirinya melainkan untuk menjadikan Malaysia sebuah tempat yang lebih hijau dan lebih baik untuk didiami.

Justeru itu, doktor perubatan di Hospital Putrajaya berusia 28 tahun itu akan berusaha mengekalkan ekosistem dengan mengurangkan sisa buangan seperti plastik dengan menanam lebih banyak pokok serta menghasilkan tuala wanita biodegradasi atau mudah urai jenama sendiri.

"Sebagai Ratu Bumi Malaysia 2020/21, saya mahu mengutarakan lebih banyak isu alam sekitar, aspek aktiviti manusia yang menjejaskan persekitaran biofizik untuk mengekalkan ekosistem.

"Alam semula jadi kaya dengan warna-warni, bentuk serta elemen, ia perlu seiringan dalam mewujudkan keseimbangan," katanya kepada Bernama selepas dimahkotakan secara rasmi dalam satu majlis di sini, hari ini.

Dr Nisha, yang menjalankan program kesihatan amal komuniti dan mempunyai 38,000 pengikut Instagram berkata Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (PEKA) menanam lebih 20,000 pokok hutan untuk menyelamatkan alam sekitar.

Justeru beliau akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) itu bagi menanam lebih banyak pokok.

Ketika ditanya sumber inspirasinya untuk menghasilkan tuala wanita mudah urai jenamanya sendiri, doktor yang bertugas di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Hospital Putrajaya itu, berkata beliau menemukan banyak tuala wanita yang tidak mudah terurai sekali gus memberi kesan buruk terhadap alam sekitar.

"Setiap tahun kira-kira 2.4 bilion keping tuala wanita dihasilkan di Malaysia. Ia adalah jumlah yang besar dan sebab itu tercetusnya idea ini. Saya merasakan apa sahaja yang akan dihasilkan ia perlulah lestari dan memelihara alam sekitar.

"Tuala wanita mudah urai ini akan terurai dalam masa enam bulan kerana setiap lapisan diperbuat daripada gentian tumbuh-tumbuhan mudah urai.

"Sedangkan tuala wanita biasa mengandungi sehingga 90 peratus plastik dan tidak akan terurai untuk 600 hingga 800 tahun atau hampir 1,000 tahun," kata ratu cantik yang aktif dalam kerja kemasyarakatan itu.

Dr Nisha berkata, beliau akan menerajui inisiatif untuk menyumbang tuala wanita biodegradasi kepada golongan kurang berkemampuan dan masyarakat Orang Asli bagi menggalakkan penjagaan kebersihan ketika tempoh menstruasi menerusi kempen 'beli satu, sumbang satu'.

Ditanya bagaimana beliau menyeimbangkan kehidupan profesional sebagai doktor dan aktivis sosial ketika pandemik COVID-19, doktor itu berkata, "Saya percaya jika anda menyukai apa yang anda lakukan, tidak akan ada keluhan dan menangguhkannya".

"Saya suka dengan kerja saya. Benar, ada ketika saya bekerja 36 jam berturut-turut dan apabila pulang ke rumah masih meneruskan rutin harian tetapi saya tekad tentang apa yang saya mahukan dalam hidup ini.

"Yang penting, semuanya mengenai keseimbangan dan bagaimana anda menjadualkan aktiviti dengan sewajarnya," kata anak kelahiran Seremban dan lulusan Universiti Malaysia Sarawak itu.

Dr Nisha berkata, terdapat salah faham dalam kalangan ibu bapa yang berpandangan pertandingan ratu cantik memberi pengaruh tidak baik kerana memberi gambaran tertentu terhadap wanita yang tidak mendatangkan sebarang faedah.

"Pada saya ada pertandingan ratu cantik yang menyerlahkan bakat seseorang wanita itu (dandanan, pengucapan awam, jaringan dan membina keyakinan) di samping mewujudkan platform untuk mereka berbuat amal.

"Pertandingan ratu cantik yang sihat sepatutnya menjadikan seseorang gadis mempunyai keazaman untuk meningkat maju, bukan meremehkannya," katanya yang akan berentap dengan peserta daripada 80 negara pada pertandingan Ratu Bumi di Filipina, tahun depan.

– BERNAMA