--> Skip to main content

Ranhill hantar 10 lori tangki air penduduk terjejas

JOHOR BAHRU: Ranhill SAJ Sdn Bhd (Ranhill SAJ), hari ini menghantar 10 lori tangki air bagi membantu Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengagih bekalan air bersih ke kawasan yang terbabit gangguan air susulan pencemaran sumber air di Sungai Gong, Selangor sejak kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ, Nor Ifuan Md Nor, berkata bantuan lori tangki air terbabit dijangka bergerak bermula lewat malam ini.

Katanya, Ranhill SAJ akan bersama rakan di Air Selangor dalam pengagihan air ke kawasan yang terjejas.

"Ini adalah tanggungjawab sosial dan persefahaman dilakukan sesama operator bekalan air di seluruh negara.

"Semoga usaha dilaksanakan ini mampu membantu Air Selangor dalam menangani masalah bekalan air," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan gangguan bekalan air membabitkan hampir 1.2 juta akaun di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang dijangka berterusan sekurang-kurangnya empat hari lagi.

Ia berikutan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang hanya boleh kembali beroperasi jika tahap pencemaran berada pada tahap 0 TON.

Sementara itu, Nor Ifuan berkata, sejak 31 Ogos lalu Ranhill SAJ sudah menghantar bantuan empat lori tangki air kepada pihak Air Kelantan Sdn Bhd (Air Kelantan) bagi menangani krisis gangguan bekalan air ekoran kerja kecemasan pembaikan paip air mentah bersaiz 1,100 mm yang pecah.