--> Skip to main content

Rampas harum manis dari Indonesia

Kuala Lumpur: Cubaan membawa masuk lima tan harum manis dari Indonesia ke negara ini digagalkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), kelmarin.

Pengarah MAQIS Selangor, Dr Tarmisal Alimin berkata, hasil pemeriksaan rutin pihaknya di Pelabuhan Klang Utara, Klang dekat sini sekitar jam 10 pagi membawa kepada penemuan kotak berlabel harum manis yang cuba dibawa masuk dari negara jiran.

Katanya, tindakan membawa masuk barang dagangan itu didapati tidak menepati syarat sebagai ditetapkan dalam permit import MAQIS.

"Siasatan mendapati pengimport tidak mematuhi syarat seperti mana dinyatakan pada permit import MAQIS iaitu tidak mematuhi Sijil Perakaun 3P iaitu penggredan, pembungkusan dan pelabelan pada dagangan terbabit.

"Oleh itu, sebanyak 5,000 kilogram (kg) harum manis bernilai RM29,885.66 itu dirampas untuk siasatan lanjut," katanya.

Menurut Dr Tarmisal, kegagalan untuk mengemukakan maklumat yang diperlukan adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Menurutnya, jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 15(2) akta sama.

"Pihak MAQIS sentiasa melakukan pemeriksaan terhadap setiap dagangan keluaran pertanian yang diimport ke dalam negara kita supaya semuanya mematuhi syarat dan peraturan yang sudah ditetapkan kerajaan," katanya.