--> Skip to main content

Rai keharmonian, padam bara perkauman sempit

ISTIMEWANYA 31 Ogos tahun ini, ia hadir selepas 29 tahun sambutan Hari Kebangsaan pada 1991 mengangkat tema Wawasan 2020.

Wawasan 2020 tidak lengkap tanpa ulasan mendalam pembentukan bangsa Malaysia seperti termaktub dalam matlamat pertamanya.

Mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu, sejahtera, terintegrasi wilayah dan kelompok etniknya menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan persamaan hak dan keadilan, membentuk sebuah bangsa Malaysia dengan rasa taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bahagi terhadap bangsa itu.

Sebagai negara majmuk, persoalan ke arah pembinaan bangsa Malaysia perlu dirungkaikan dengan cermat untuk dijadikan sebagai asas.

Antaranya, Perlembagaan Persekutuan sebagai asas rujukan utama. Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan pula, seharusnya mengingatkan umat Islam bahawa agama ini meletakkan dasar dan panduan syariat terbaik untuk umatnya.

Antara maslahat utama digariskan dalam Islam ialah menjaga keselamatan dan kepentingan seluruh manusia berasaskan persaudaraan serta kasih sayang.

Hal ini jelas dalam Sahifah (Perlembagaan) Madinah yang boleh dijadikan asas menyokong cita-cita murni bagi melahirkan bangsa Malaysia.

Sheikh Hassan as-Saffar menjelaskan Piagam Madinah menganjurkan konsep 'nasrah wa-taawun' (bantu-membantu dan bekerjasama) sesama anggota masyarakat.

Aspek kepentingan bahasa kebangsaan sebagai agen penyatu masyarakat tidak boleh dikesampingkan. Bahasa kebangsaan tidak sekadar wujud dalam bentuk susunan kata-kata.

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan juga memartabatkan budaya kesopanan dan ketamadunan bangsa.

Selain dipelihara kedudukannya menerusi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan, bahasa Melayu juga wahana pengikat sosial yang mampu merentas tembok perbezaan identiti khususnya dalam masyarakat majmuk di negara ini.

Bahasa Melayu sudah lama wujud sebagai bahasa kesatuan dan pemersatuan. Justeru, peranan serta usaha memartabatkannya perlu dipergiat serta diperluas.

Jika seluruh rakyat Malaysia mendaulatkan bahasa kebangsaan akan terzahir citra dan keperibadian kita sebagai satu bangsa, iaitu bangsa Malaysia.

Untuk menjayakan pembinaan bangsa Malaysia, tumpuan juga perlu diberi untuk membentuk perwatakan serta kualiti sumber daya insan kerana ia adalah cerminan hala tuju sesebuah negara.

Sudah tentu pembangunan ekonomi itu penting, tetapi pembinaan jiwa serta minda baharu yang mempunyai ikatan moraliti adalah sangat signifikan untuk negara kita.

Bangsa Malaysia juga harus memartabatkan nilai kemanusiaan, keadilan, kesederhanaan dan integriti dengan menentang gejala kebejatan seperti kezaliman dan kecurangan yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita.

Untuk itu, kita perlu berfikir secara kritis serta punya keberanian untuk bertindak.

Kejayaan tidak hanya diukur semata-mata berdasarkan kemampuan membangun bangunan pencakar langit. Asas kepada sesebuah kejayaan, perlu didefinisikan berasaskan semangat untuk menjadi bangsa yang bermaruah dan bisa memberikan teladan kepemimpinan yang baik.

Dalam hal ini, wajar kita mengambil renungan daripada kata pujangga tersohor Jawa zaman silam, Ranggawarsita, untuk mengelakkan keadaan seperti digambarkan dalam 'Serat Kalatidha' mengenai zaman beliau yang penuh dengan kebejatan, apabila masyarakat sudah kekeringan teladan, apabila ilmuwan dan pemimpin dibawa arus yang rosak.

Untuk membina masyarakat yang kukuh, bangsa Malaysia perlu diasaskan daripada semangat bela negara dari seluruh kekuatan rakyat.

Semangat ini mendorong rakyat untuk sanggup berjuang mengorbankan jiwa raga, untuk membela tanah air daripada sebarang unsur yang boleh membawa kepada kehancuran.

Bangsa Malaysia tidak seharusnya membenarkan sebarang unsur perpecahan meresap masuk dalam masyarakat kerana sekali kesatuan itu diceroboh, penyesalan di kemudian hari tidak membawa apa-apa makna.

Jauhi sikap mengadu domba dan khianat mengkhianati, untuk membentuk pembinaan bangsa yang progresif, bersatu padu dan menjunjung nilai persefahaman antara satu sama lain.

Malaysia ibarat sebuah rumah yang besar, didiami seluruh anak bangsa - dari Kota Kinabalu sampai ke Kangar, dari Banjaran Titiwangsa ke puncak Gunung Kinabalu - untuk merealisasikan impian dan cita-cita luhur kita bersama.

Marilah sama-sama kita padamkan sebarang bara perkauman sempit daripada terus menyala. Raikan keharmonian hidup bersama pelbagai kaum di negara kita yang tercinta ini.

Cukuplah dalam abad lalu kita dijajah Portugis, Belanda, British dan Jepun. Di alaf baharu, jangan pula kini kita terus dijajah dengan kejahilan serta ketaksuban ciptaan kita sendiri.

Dengan minda sedar sebagai bangsa Malaysia yang bermaruah dan bermartabat. Untuk itu, bangsa Malaysia yang waras dan matang harus kembali kepada akarnya, di samping menyesuaikan diri dengan realiti kini dan esok nanti.

Kobar jiwa Merdeka: Hidup Malaysia Kita!

Zairudin Hashim, Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)