--> Skip to main content

Puluhan ribu di Pakistan bantah Charlie Hebdo terbit semula kartun hina Nabi Muhammad

KARACHI: Puluhan ribu penduduk di seluruh Pakistan turun ke jalanan dengan melaungkan 'kematian buat Perancis' dan menggesa tindakan boikot produk negara itu, sebagai protes terhadap majalah Perancis, Charlie Hebdo yang menerbitkan semula kartun menghina Nabi Muhammad SAW.

Penunjuk perasan membawa pelbagai plakad dalam protes itu, antaranya tertulis 'pancung adalah hukuman kepada kufur'.

Kartun kontroversi itu mencetuskan kemarahan dan ketidakselesaan dalam kalangan orang Islam seluruh dunia pada 2005 apabila ia pertama kali diterbitkan oleh akhbar Danish, Jyllands-Posten.

Awal minggu ini, majalah satira mingguan Charlie Hebdo menerbitkan semula kartun itu ketika bermulanya perbicaraan rakan subahat serangan militan Islam di pejabatnya di Paris pada Januari 2015.

Rabu lalu, ketika hari pertama perbicaraan itu, mahkamah Perancis diberitahu penembak yang menyerbu ke dalam pejabat Charlie Hebdo dan membunuh 12 individu, berbuat demikian untuk membalas dendam bagi pihak Nabi Muhammad SAW.

Penerbitan kartun itu adalah punca serangan berkenaan.

Tunjuk perasaan pada Jumaat dianjurkan parti Tehreek-e-Laibak Pakistan (TLP) di Karachi serta Rawalpindi, Peshawar, Lahore dan Dera Ismail Khan. - Agensi