--> Skip to main content

Pub padat pengunjung diserbu

Petaling Jaya: Seramai 161 pengunjung di sebuah pub di Damansara Utama, di sini dikompaun kerana tidak menjaga penjarakan fizikal.

Mereka yang duduk secara 'padat' di dalam premis itu dikesan ketika serbuan dijalankan Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, malam tadi.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Zuhairee Mohamad Rashid berkata, dalam serbuan pada 10.30 malam itu, pihaknya mendapati premis berkenaan padat dengan pengunjung.

"Semua mereka berusia 20 hingga 40 tahun itu didapati tidak mematuhi penjarakan fizikal dan peraturan yang ditetapkan bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Semua mereka dikompaun dan dibenarkan pulang selepas kompaun dikeluarkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pemantauan berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Masyarakat diingatkan sekali lagi supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan atau berdepan tindakan," katanya.