--> Skip to main content

PROTON terus catat jualan memberangsangkan

SUBANG JAYA: Proton Holdings Bhd (PROTON) menjual sebanyak 11,378 unit kenderaan pada Ogos 2020, meningkat 24.7 peratus dari segi jumlah berbanding bulan yang sama tahun lalu, namun turun 14 peratus berbanding bulan Julai.

Penguasaan pasaran untuk bulan dikaji dianggarkan berada pada 21.6 peratus manakala angka sejak awal tahun sehingga kini dianggarkan pada 21.7 peratus, kata syarikat pengeluar kereta nasional itu dalam satu kenyataan hari ini.

"Dengan pencapaian jualan sebanyak 61,672 unit setakat bulan Ogos 2020, PROTON telah mengatasi jumlah jualan tahun lalu dalam tempoh yang sama sebanyak 46 unit.

"Pencapaian ini amat bermakna kerana jualan kenderaan terjejas oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa pada bulan Mac, April dan Mei untuk membendung penularan wabak COVID-19," katanya.

"Tiga model Proton berjaya mendahului jenama lain dalam segmen masing-masing. Proton Persona dan Proton Exora sekali lagi mencatat jualan tertinggi dan berjaya mempertahankan kedudukannya walaupun menghadapi persaingan sengit dari jenama lain," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah, berkata pemulihan jualan setelah mengalami PKP amat mengagumkan kerana Proton hanya mengambil masa tiga bulan untuk kembali ke landasan yang betul.

"Dengan pencapaian jualan kini telah mengatasi prestasi tahun 2019, kami yakin boleh menangani cabaran yang dicetuskan oleh wabak COVID-19.

"Kesan yang positif terhadap syarikat, pekerja dan pembekal tidak boleh dipandang rendah dan kami berharap untuk meneruskannya sehingga akhir tahun untuk memberikan impak yang besar terhadap ekosistem industri automotif," katanya.