--> Skip to main content

Projek runding terus wajar, tetapi perlu berintegriti - Akhbar Satar

KUALA LUMPUR: Pemberian sebarang projek secara Rundingan Terus (RT) adalah wajar tetapi ia perlu dilakukan dengan penuh integriti.

Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia (MACFE), Datuk Seri Akhbar Satar, berkata ia bagi memastikan projek diberikan kepada kontraktor berwibawa dan tidak membawa kerugian kepada negara.

"..kadangkala kita memerlukan sistem yang ringkas, tetapi 'handler' iaitu jawatankuasa teknikal dan juga jawatankuasa kewangan dan lembaga perlu terdiri daripada orang yang mempunyai integriti.

"Ini untuk memastikan agar ia dijalankan dengan lebih telus, diberikan kepada kontraktor yang berwibawa dan bernilai untuk wang," katanya ketika menjadi tetamu rancangan Ruang Bicara bertajuk 'Runding Terus: Wajar atau Tidak?' terbitan Bernama TV di sini malam tadi.

Akhbar juga berkata sebarang projek RT perlu memenuhi kriteria tertentu dan bukan boleh dilakukan dengan sesuka hati.

Ia katanya, termasuk sesuatu yang mungkin perlu dilakukan demi kepentingan negara, kecemasan atau jika tidak dilakukan, ia akan memudaratkan sesuatu perkhidmatan.

Beliau memberikan contoh Amerika Syarikat yang terpaksa mengeluarkan beberapa projek RT ketika kejadian bencana Taufan Katrina bagi memenuhi keperluan kecemasan ketika itu.

Kelemahan RT yang biasa berlaku di negara ini dan negara membangun ialah apabila dicemari dengan krisis integriti apabila ia diberikan untuk mendapat keuntungan lebih dan diberikan kepada kroni.

"Sebenarnya jika masyarakat kita ada integriti, apa-apa sistem pun tidak apa, isunya sekarang kenapa ada tender terbuka dan rundingan terus (RT) ini, kerana ada manusia-manusia tamak, sebab ada penipu, ada orang-orang yang fraud nak pusing dan melakukan penyelewengan.

"Di Malaysia, di negara-negara membangun, kita dapati ahli-ahli politik dan pegawai kerajaan korup, mereka ini kreatif, jika ada arahan baharu, mereka akan cari jalan agar pemberian tender itu akan memberi keuntungan kepada diri sendiri," katanya. – BERNAMA