--> Skip to main content

Projek Lebuh Uhud hampir siap

MADINAH: Gabenor Madinah, Putera Faisal Salman memeriksa projek Lebuh Uhud pada Jumaat yang dilaksanakan Perbandaran Madinah di laluan menghubungkan Masjid Nabawi dan Masjid Sayyid Al-Shuhada berhampiran Bukit Uhud, lapor Saudi Press Agency.

Projek yang menjadi sebahagian daripada program menambah baik bandar berkenaan kepada penduduk setempat dan pengunjung, sudah hampir siap.

Gabenor Madinah itu memeriksa reka bentuk projek yang turut merangkumi laluan pejalan kaki dan bas, serta pembangunan lokasi perkhidmatan di kedua-dua bahagian jalan.

Projek Lebuh Uhud itu turut merangkumi laluan pengguna berkeperluan khas, ruang sedia ada dari kawasan pusat sehingga persimpangan Jalan Lapangan Terbang bagi melancarkan trafik ketika waktu puncak, serta menyediakan perkhidmatan kepada pengguna, kawasan rehat dan menunggu serta air pancut.

Selain itu, ruangan hijau akan diperluas dengan menambah jumlah pokok dan kanopi di sepanjang laluan dan menyesuaikan rekaan dengan karakter serta identiti kawasan sekeliling utara Masjid Nabawi.

Bukit Uhud adalah tempat pertempuran kedua dalam sejarah Islam antara tentera Islam dan orang kafir yang menyerang Makkah. Beberapa sahabat Nabi Muhammad SAW termasuk bapa saudara baginda, Hadrat Hamza mati syahid di sini.

Projek Lebuh Uhud dilaksanakan dalam beberapa fasa bagi memastikan pembangunan seimbang dan mampan, selain mengatur elemen semula jadi, budaya dan sejarah di kawasan itu.

Datuk Bandar Madinah, Fahd Muhammad Al-Belaishi, berkata projek itu mengutamakan tarikan semula jadi dan warisan dan penambahbaikan fasiliti sedia ada, sekali gus mentransformasikan kawasan berkenaan.

"Projek ini juga akan meningkatkan tahap perkhidmatan dan infrastruktur yang sepadan dengan keperluan operasi serta jumlah pengunjung.

"Ia juga mengetengahkan monumen sejarah dan tapak penting di sepanjang jalan itu," katanya. - Agensi