--> Skip to main content

Profesor berkulit putih mengaku menyamar individu kulit hitam

WASHINGTON: Sebuah universiti di Amerika Syarikat (AS) melancarkan siasatan terhadap seorang profesor berkulit putih yang mengaku menipu selama bertahun-tahun bahawa dirinya adalah individu kulit hitam.

Dalam satu catatan melalui platform Medium, profesor sejarah di Universiti George Washington, Jessica Krug, berkata beliau telah berpura-pura.

"Saya meninggalkan pengalaman hidup diri sebagai kanak-kanak Yahudi yang berkulit putih di pinggir bandar Kansas City, dengan menggunakan pelbagai identiti berkait orang kulit hitam yang tidak berhak dituntut oleh saya," tulisnya.

Krug yang berkulit cerah berkata, beliau pada mulanya menyamar sebagai orang kulit hitam Afrika Utara, sebelum menjadi orang kulit hitam AS dan orang kulit hitam berasal dari Caribbean, Bronx.

Krug berkata, tindakannya itu menggambarkan 'keganasan dan pencurian dalam pelbagai cara di mana orang bukan kulit hitam menyalahgunakan identiti serta budaya orang kulit hitam'.

Beliau turut menggelarkan dirinya sebagai 'lintah' budaya.

Dalam satu kenyataan pada lewat petang semalam, pihak universiti itu memaklumkan sedang meneliti situasi berkenaan dan Krug tidak akan mengajar pada semester ini, namun tiada menyatakan tindakan bakal diambil terhadap profesor itu. - AFP