--> Skip to main content

PRN Sabah: WARISAN umum calon Khamis ini

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) akan mengumumkan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Khamis ini.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata calon WARISAN dipilih dalam kalangan terbaik bagi memastikan mereka menjadi pilihan rakyat dan memberi kemenangan kepada parti itu.

"Ini bukan sekadar pengagihan kerusi semata-mata tapi kita mahu menang pilihan raya ini. Sekarang BN (Barisan Nasional) dan Perikatan Nasional (PN) juga bergelut.

"Pilihan raya ini penting bagi kita. Jadi kita kena pastikan kita pilihan utama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya WARISAN Plus sempena PRN Sabah ke-16 di Dewan Masyarakat Keningau, semalam.

Shafie juga turut menggesa rakyat supaya bersatu bagi memastikan WARISAN kembali menerajui Sabah.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 26 September sebagai tarikh PRN Sabah, manakala hari penamaan calon pada Sabtu ini.