--> Skip to main content

Presiden mungkir janji: Messi

MADRID: Lionel Messi berkata dia kekal bersama kelab itu hanya kerana presidennya Josep Maria Bartomeu mungkir janji dalam membenarkan perpindahannya.

Kritikan Messi ke atas Bartomeu dan kelab meletakkan masa depannya bersama Barcelona kekal samar.

Walaupun tidak dibenarkan pergi pada musim panas ini, pemain 33 tahun itu masih boleh berunding dengan pasukan lain bermula 1 Januari dan berpindah secara percuma apabila kontraknya tamat pada Julai.

Bartomeu juga masih ada janji yang perlu ditunaikan apabila sebelum ini berkata dia akan meletakkan jawatan sekiranya Messi secara terbuka berkata dia adalah punca masalah dan bersetuju untuk kekal.

"Presiden sentiasa berkata yang pada hujung musim saya boleh menentukan sama ada mahu pergi atau kekal tetapi dia mungkir janji.

"Sebab itu saya terpaksa kekal di sini... kerana presiden memberitahu saya yang satu-satunya cara adalah membayar pampasan 700 juta euro (RM3.44 bilion).

"Ia mustahil, dan satu lagi cara ialah membawanya ke mahkamah. Saya tidak akan membawa Barca ke mahkamah kerana ini kelab yang saya sayang, yang memberikan segalanya buat saya sejak saya tiba di sini," kata Messi. - AFP