--> Skip to main content

Polis sedang kesan kereta bolos dikejar

SUNGAI PETANI: Polis sedang mengesan sebuah kereta jenis Proton Wira yang berjaya bolos ketika dikejar kereta peronda polis (MPV) di Taman Ria, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata siasatan awal mendapati insiden berlaku kira-kira jam 10 pagi tadi apabila anggotanya mendapati kereta itu berada dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan.

Bagaimanapun sebaik saja dihampiri polis, beliau berkata, kereta itu memecut sebelum dikejar hingga ke Taman Ria Jaya.

"Anggota mengarahkan pemandu kereta terbabit berhenti tetapi tidak diendahkan. Keadaan itu menyebabkan anggota meminta bantuan daripada Unit Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.

"Selepas hampir 10 minit, kenderaan MPV mengalami masalah dan tidak dapat mengejar kereta terbabit," katanya dalam satu kenyataan.

Adzli berkata, anggota trafik kemudian memberikan bantuan mengejar kereta itu yang menghala dari Jalan Taman Ria Jaya Ke Kelab Cinta Sayang.

Bagaimanapun disebabkan jarak jauh antara kedua-dua kenderaan, beliau berkata, kereta terbabit berjaya bolos.

"Semakan melalui sistem Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati nombor plat kenderaan itu didaftarkan atas nama seorang wanita bernama R Gayathiri, 28, yang menetap di Slim River, Perak.

"Semakan juga mendapati tiada rekod jenayah dilaporkan," katanya.

Selain itu, beliau berkata, semakan mendapati penama terbabit kini dalam proses bercerai dengan suaminya dan membuat laporan polis pada 9 Ogos lalu untuk mendapatkan semula kereta berkenaan.