--> Skip to main content

Pingat khas buat petugas barisan hadapan

BEBERAPA Ahli Dewan Negara, hari ini mencadangkan kerajaan mewujudkan pingat khas bagi menghargai jasa petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus bertugas tanpa jemu dalam menghadapi wabak Covid-19.

Pengiktirafan dan isu kebajikan petugas barisan hadapan menjadi antara topik yang dibangkitkan Ahli Dewan Negara pada sesi perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Negara, hari ini.

Senator Mohamad Imran Abd Hamid menyarankan kerajaan menyembah maklum dan menyuarakan hasrat kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mewujudkan 'Pingat Keberanian Khidmat Covid-19'.

"Pingat itu adalah untuk semua frontliners atau petugas barisan hadapan yang bersusah payah atau berhadapan risiko dalam hadapi Covid-19, dan kita sedia maklum bahawa usaha kita (Malaysia) telah diiktiraf oleh dunia khususnya WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia).

"Saya juga ingin bangkitkan ini kerana Ketua Pengarah Kesihatan telah dianugerahkan gelaran Tan Sri (Dr Noor Hisham Abdullah), maka sebab itu amatlah wajar kita pertimbangkan untuk frontliners juga dikurniakan dengan sedikit pingat kecil iaitu pingat keberanian khidmat Covid-19," katanya semasa membahaskan usul berkenaan.

Senada dengan Mohamad Imran ialah Senator Datuk Theodore Douglas Lind yang mencadangkan anugerah dalam bentuk pingat sebagai satu tanda penghargaan atas pengorbanan petugas barisan hadapan melindungi masyarakat daripada Covid-19.

"Kita tidak boleh nafikan bahawa kejayaan ini dicapai kerana rakyat jelata tidak kira bangsa dan agama bersatu serta berdisiplin mematuhi arahan kerajaan dan pihak berkuasa," katanya.

Sementara itu, Senator Datuk Razali Idris pula menganggap petugas barisan hadapan sebagai wira dan wirawati Malaysia serta menyarankan kerajaan supaya menambah baik elaun kritikal pekerja berkenaan.

"Saya nak syorkan supaya setiap petugas barisan hadapan mempunyai insurans perubatan, keselamatan dan perlindungan baik untuk diri mereka dan keluarga.

"Tanpa kesanggupan barisan hadapan berdepan wabak atau konflik tidak diduga, siapalah kita sebagai rakyat biasa ini hendak bergantung harapan," katanya.

Senator Datuk Lim Pay Hen turut menyokong cadangan Razali.

"Saya juga menyeru agar sebarang kemudahan atau kebajikan kepada pihak yang terlibat dan petugas barisan hadapan diperhalusi dengan mengutamakan faktor keselamatan perlindungan pihak ini bersama keluarga mereka," katanya.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok.