--> Skip to main content

Pinda akta untuk pemandu mabuk

KUALA LUMPUR: Pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bukan untuk mencabul hak individu mengambil minuman beralkohol, sebaliknya dibuat bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap pemandu mabuk.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata ia juga sebagai ingatan kepada rakyat bahawa kerajaan serius dalam menangani insiden kemalangan yang membabitkan pemandu mabuk.

"Kita bukan hendak cabul hak orang lain, kalau dia hendak minum, boleh iaitu selain Muslim, tetapi kalau sudah minum kita beri amaran jangan bawa kenderaan," katanya menjawab soalan Senator Raj Munni Sabu pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Di sebalik penguatkuasaan terhadap akta itu, Ka Siong berkata, kerajaan kini menumpukan usaha pendidikan melalui advokasi bagi memberi kefahaman kepada rakyat mengenai kesan dan risiko pemandu mabuk kepada masyarakat.

"Ia memerlukan kerajaan untuk mengambil tindakan tuntas. Bukan sahaja menerusi penguatkuasaan tetapi juga pendidikan melalui advokasi.

Perkara ini penting untuk memberi pemahaman rakyat kenapa kerajaan perlu mengambil tindakan tegas," katanya.

Dalam tempoh lima tahun lalu, beliau berkata, sebanyak 47 kes kematian direkodkan membabitkan kes kecuaian pemandu mabuk dan ia lebih rendah berbanding 6,000 hingga 7,000 kematian setiap tahun disebabkan kemalangan jalan raya.

Dewan Rakyat pada 26 Ogos lalu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang antara lain meminda hukuman pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Pindaan membabitkan 15 fasal utama dan menyentuh 13 seksyen Akta 333 yang dibentang oleh Ka Siong pada Julai lalu, diluluskan tanpa pindaan menerusi undian suara di Dewan Rakyat.

Antara pindaan utama adalah ke atas hukuman sedia ada, membabitkan kadar denda, tempoh penjara dan penggantungan lesen memandu.