--> Skip to main content

Perundingan, muafakat kaum tunjang politik Malaysia

JIKA ditelusuri sejarah, budaya tawar-menawar dan perundingan berakar umbi dalam aspek politik di Malaysia.

Pemansuhan Malayan Union pada 1946 dan pengenalan Persekutuan Tanah Melayu pada 1948, menyaksikan kerjasama politik antara Melayu dan bukan Melayu mula terjalin.

Sebelum Perang Dunia Kedua, perjuangan politik Tanah Melayu dipelopori kaum Melayu seperti perjuangan menentang penjajah secara bersenjata oleh Datuk Bahaman, Datuk Maharaja Lela, Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong dan lain-lain.

Begitu juga perjuangan menentang penjajah secara media massa dan persatuan seperti Ishak Mohamad, Syed Syikh Al-Hadi dan lain-lain lagi, hanya membabitkan tokoh Melayu.

Namun, pasca Perang Dunia Kedua, khususnya selepas pembubaran Malayan Union, orang Cina dan India mula terbabit dalam arena politik negara.

Puncanya, disebabkan niat mereka yang asalnya hanya datang ke Tanah Melayu untuk mencari rezeki, mula bertukar kepada untuk tinggal tetap di Tanah Melayu sebagai tanah air mereka. Maka, bermulalah kerjasama politik antara etnik di Tanah Melayu.

Sebagai contoh, penubuhan Jawatankuasa Perhubungan Kaum (CLC) 1949 membabitkan pelbagai etnik berusaha menyelesaikan sesetengah masalah Perlembagaan, politik dan ekonomi yang wujud akibat permintaan berlainan daripada pelbagai etnik.

Melalui CLC, pemimpin pelbagai etnik berbincang secara terbuka mengenai permasalahan yang wujud dan dicari jalan penyelesaiannya.

Selain berusaha merapatkan hubungan dan kerjasama antara etnik, CLC sendiri dianggap sebagai platform bagi wakil setiap etnik menyuarakan kepentingan politik masing-masing.

Kerjasama politik diteruskan apabila penjajah British membuat perubahan dasar ke arah berkerajaan sendiri. Pada 1951, Sistem Ahli diperkenalkan.

Melalui sistem ini, British melantik beberapa wakil warganegara Persekutuan Tanah Melayu menjadi ahli dalam Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan yang diberi taraf seperti menteri membabitkan etnik Melayu, Cina dan India.

Pada pertengahan 1951, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu dengan persetujuan Raja-Raja Melayu, mengumumkan untuk melantik sebuah Jawatankuasa Pilihan Raya Persekutuan bagi mengkaji persoalan pilihan raya kepada Majlis Legislatif Persekutuan.

Maka, melalui beberapa siri pilihan raya yang diadakan, kerjasama politik terus terjalin. Pada Februari 1952, pilihan raya dalam Majlis Perbandaran Kuala Lumpur diadakan dan 12 kerusi dipertandingkan dengan UMNO dan MCA membuat pakatan secara tidak rasmi.

UMNO dan MCA menang sembilan kerusi, manakala selebihnya dikuasai Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) dan calon Bebas. Kerjasama ini membawa kepada penubuhan Perikatan.

Seterusnya, pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1955, Perikatan bertanding dalam pilihan raya dengan meletakkan calon bagi semua 52 kawasan, Parti Negara di 33 kawasan dan PAS di 11 kawasan.

Jika dilihat pembahagian kerusi dan calon, ternyata Parti Perikatan diterajui UMNO mengamalkan konsep perkongsian kuasa melalui pembahagian kerusi pada PRU 1955.

Melaluinya, UMNO diperuntukkan 35 kerusi, MCA 15 kerusi dan MIC sebanyak dua kerusi, walaupun pengundi Melayu adalah majoriti di 50 kawasan.

Namun, dalam manifesto pilihan raya, parti dalam Perikatan berikrar melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan mempertahankan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai ketua berperlembagaan negeri masing-masing.

Manifesto ini juga mengiktiraf kehadiran sejumlah besar orang Cina dan India serta pentingnya diwujudkan perpaduan dan taat setia yang satu akan digubal bagi semua etnik.

Kemenangan Perikatan menyebabkan Tunku Abdul Rahman membentuk Kabinet membabitkan komposisi berbilang kaum, iaitu enam Melayu, tiga Cina dan seorang India.

Kerjasama politik lebih erat antara Melayu dan bukan Melayu terus terjalin apabila Inggeris mensyaratkan kemerdekaan hanya diberikan sekiranya rakyat negara ini bersatu padu dan boleh bekerjasama.

Dalam hal ini, isu kemerdekaan melewati batasan perkauman dan menatijahkan masyarakat yang berpecah-belah kepada masyarakat bersatu padu.

Ini membolehkan mereka mengetepikan pandangan sempit perkauman dan bekerja ke arah menuntut kemerdekaan daripada penjajah.

Untuk itu, satu persidangan London dipersetujui dan perutusan merdeka membabitkan empat wakil raja dan empat wakil Perikatan pelbagai etnik, ke London pada Januari 1956 dan akhirnya Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

Ternyata, konsep tawar-menawar dan perundingan serta politik muafakat ini mendasari arena politik di Malaysia sehingga sekarang, yang mana setiap parti politik di Malaysia agak sukar menang dalam pilihan raya tanpa kerjasama parti politik lain, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Pada masa sama, isu Islam dan orang Melayu sangat memberi implikasi terhadap politik serta hubungan etnik di Malaysia. Formula mudah perlu dihayati parti politik ialah dalam politik muafakat ini perlu berpegang kepada apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963.

Jika ini dipatuhi dan dihayati, kestabilan politik akan kukuh di bumi Malaysia.

Penulis adalah Pensyarah di Pusat Citra, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)