--> Skip to main content

Pertaruhkan keselamatan diri bantu insan tidak dikenali - Zaitoon

KUALA LUMPUR: Jika ditanya mengenai senjata paling ampuh bagi mengekalkan keharmonian dalam sesebuah negara yang berbilang bangsa dan berbeza latar budaya, resipinya ialah utamakan nilai dan moral kemanusiaan dalam kehidupan setiap insan.

Pendirian ini menjadi asas pegangan Datin Paduka Zaitoon Othman, 80, Timbalan Pendakwa Raya wanita pertama negara untuk sentiasa membantu insan lain yang memerlukan bantuan dan sokongan tanpa mengira batas perbezaan agama mahupun bangsa.

Menariknya, prinsip murni Zaitoon dalam membantu insan lain itu, sudah sebati di dalam jiwa sejak belia lagi dengan pembabitan aktif dalam pelbagai pertubuhan dan persatuan, khususnya ketika negara berhadapan peristiwa rusuhan kaum dan darurat pada 1969.

Atas sifat prihatin dan simpati terhadap keselamatan orang lain, terutamanya terhadap jiran, Zaitoon yang ketika itu berkhidmat sebagai majistret menjadikan rumahnya sebagai tempat perlindungan kepada hampir 30 individu pelbagai kaum berikutan suasana tegang susulan peristiwa 13 Mei 1969.

"Rumah saya itu hanya ada tiga bilik, mereka minta bantuan kerana risau keadaan tidak selamat untuk diri dan anak-anak...ada suri rumah berbangsa Cina juga meminta bantuan kerana suami mereka berada di luar negara," katanya ketika ditemubual dalam dokumentari khas Bernama bertajuk 'Rukun Negara: A Nation United' (Rukun Negara: Sebuah Negara Bersatu), di sini, baru-baru ini.

dua bahagian berdurasi selama 30 minit setiap bahagian itu, diterbitkan Bernama TV bersempena ulang tahun ke-50 Rukun Negara. Ia akan disiarkan pada 31 Ogos dan 5 September menerusi saluran 502 (Bernama TV), ASTRO, Njoi 502, UnifiTV 631 dan MyFreeView 121, selain laman Facebook rasmi BernamaTV dan saluran YouTube.

Bercerita lanjut mengenai pengalaman membantu rakyat dalam kesusahan, Zaitoon yang pernah berkhidmat sebagai Majistret Kuala Lumpur pada 1969 dan setahun kemudian sebagai Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, mempertaruhkan keselamatan diri dan suaminya dengan menerima individu tidak dikenali kebanyakannya wanita dan kanak-kanak untuk tinggal hampir seminggu di rumahnya.

"Semasa darurat, saya dikehendaki hadir ke mahkamah bagi mengendalikan beberapa kes. Polis mengiringi saya selama seminggu kerana keselamatan ketika itu amat bahaya.

Zaitoon yang juga Ahli Majlis Yayasan Sime Darby berkata, selain memberi perlindungan ketika itu, beliau turut membantu jiran membeli barangan keperluan seperti susu dan makanan berikutan pergerakan yang terbatas ketika darurat.

Tidak mahu digelar sebagai 'wira', bagi Zaitoon, keikhlasan membantu insan lain yang dalam kesusahan harus wujud dalam diri setiap insan untuk mengecapi kehidupan harmoni dalam bermasyarakat.

Bagi beliau, wang ringgit bukan dikejar sebaliknya, keselamatan adalah keutamaan ketika itu.

"Disebabkan berlaku krisis perkauman terutamanya di Kuala Lumpur ketika itu, menyebabkan berlaku pergeseran. Kerana faktor itulah, saya yakin, diwujudkan Rukun Negara bagi menyatukan kaum yang ada," katanya.

"Rentetan peristiwa itu, saya dapat melihat usaha yang dilakukan oleh masyarakat untuk bersama dan saling berhubung antara satu sama lain, tidak kira bangsa atau agama mereka," katanya.

Beliau turut menyuarakan pandangan agar generasi masa kini perlu mengikis sikap prejudis sebaliknya memupuk kasih sayang dalam masyarakat tanpa mengira latar budaya.

Kesedaran itu harus disemai sejak kecil dalam keluarga mengenai betapa pentingnya untuk semua masyarakat saling hormat menghormati antara satu sama lain bagi mewujudkan suasana harmoni, katanya.

"Apabila anak-anak anda sudah mula bersekolah dan berfikir, mereka perlu dididik dengan sebaik-baiknya tanpa mengira bangsa," katanya.

"Sewaktu saya masih di sekolah dan tamat pengajian selepas itu, interaksi antara kaum sangat utuh. Semuanya bersatu hati tanpa menghiraukan perbezaan latar budaya dan kaum dalam masyarakat. Kita bersatu sebagai rakyat Malaysia," katanya.

Bagi Zaitoon sekolah turut berperanan dalam menjelaskan kepada pelajar mengenai kepentingan Rukun Negara kerana semangat patriotisme dan cintakan negara harus dipupuk sejak kecil dan ia tidak mampu wujud dengan sendiri dalam diri setiap individu.

Justeru, jelas beliau, Prinsip Rukun Negara harus dipupuk dan disemat dalam diri pelajar, agar mereka dapat mempraktikkan nilai-nilai murni itu dalam kehidupan harian.

"Prinsip Rukun Negara juga haruslah diamalkan. Ini sangat penting terutama bagi generasi muda hari ini yang begitu terdedah dengan kesan negatif penggunaan teknologi dan internet sehingga menyebabkan mereka mudah mengeluarkan kenyataan sensitif dan menyakiti kaum lain," katanya menambah perkara ini harus dihindari. - BERNAMA